KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) giat berjalan bagi memastikan inisiatif memperkasakan Kolej Tingkatan Enam dapat direalisasikan.


Ringkasan AI
  • Kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang berlangsung untuk memperkasakan Kolej Tingkatan Enam, dengan program khusus iaitu Kolej Tingkatan Enam Premium akan dilaksanakan tahun depan.
  • Program Kolej Tingkatan Enam Premium bertujuan memberi keutamaan kepada pelajar Tingkatan Enam, meningkatkan mutu pendidikan, dan menetapkan hala tuju yang jelas bagi pelajar-pelajar tersebut.
  • Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, juga mencadangkan pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam, dan maklumat lanjut mengenai inisiatif ini akan diumumkan setelah proses penyelarasan selesai.


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata antara program khusus yang akan dilaksanakan tahun hadapan ialah Kolej Tingkatan Enam Premium.

"Bagi meneruskan kegemilangan dan menyambut hasrat kerajaan melihat tingkatan enam menjadi antara arus pendidikan utama pilihan anak kita, maka inisiatif-inisiatif penting antara lain untuk pastikan bahawa satu program khusus akan kita laksanakan.

"Kolej Tingkatan Enam Premium yang akan kita mula tahun hadapan akan memberi tumpuan kepada anak-anak Tingkatan Enam ini khususnya memastikan mereka ini diberikan keutamaan dalam konteks untuk memastikan dari segi hala tuju dan juga meningkatkan mutu dan kualiti pendidikan di Tingkatan Enam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) 2023 di sini, hari ini.

Ditemui selepas itu Fadhlina berkata maklumat lanjut berhubung inisiatif berkenaan akan diumumkan selepas selesai proses penyelarasan.

Beliau berkata antara cadangan lain yang akan diperhalusi termasuklah pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam.

Terdahulu Fadhlina menyampaikan wang tunai bernilai RM1,000, plak serta sijil kepada 17 pelajar terbaik STPM 2023.

Keputusan STPM 2023 yang diumumkan hari ini mencatatkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional 2.84, tertinggi sejak peperiksaan itu dilaksanakan.

Selain itu seramai 1,116 calon atau 2.7 peratus meraih PNGK 4.00 dalam peperiksaan itu tahun lepas.

-- BERNAMA