SHAH ALAM: Mayat anggota tentera laut ditemukan orang awam di dalam parit berhampiran Hotel Sri Bernam, Sabak Bernam, kira-kira 120 kilometer dari sini.

Timbalan Pengarah Bomba Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata mayat Mohamad Khair Mahat, 28, ditemukan dalam Perodua Kelisa oleh orang awam yang memotong rumput di kawasan kejadian dan kereta tersebut dipercayai telah terbabas ke dalam parit berkenaan.

Beliau berkata pihak bomba bertindak mengeluarkan mayat itu setelah kereta tersebut dinaikkan dari parit yang berkedalaman dua meter menggunakan jentolak, susulan panggilan yang diterima pada 4.23 petang.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Agus Salim Mohd Alias berkata pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat di dalam sebuah kereta pada Kilometer 34, Jalan Teluk Intan-Klang, hari ini.

Agus Salim berkata siasatan awal mendapati kemalangan tersebut dipercayai berlaku pada 21 Mei lepas sekitar pukul 4 hingga 5 pagi dan sebelum kejadian, mangsa telah bertolak dari Jempol lebih kurang 12.05 tengah malam menuju ke tempat kerjanya di Lumut.

"Dipercayai mangsa telah gagal mengawal kereta yang dipandunya lalu terbabas dan terjunam ke dalam parit tersebut," kata Agus Salim dalam kenyataan.

Beliau berkata laporan polis telah dibuat oleh isteri mangsa keesokan harinya pada 8.54 pagi di Balai Polis Bandar Seri Jempol setelah dimaklumkan mangsa tidak hadir bertugas di markasnya dan gagal dikesan.

".. kali terakhir isterinya berhubung (dengan mangsa) menerusi pesanan di aplikasi WhatsApp pada 1.30 pagi, 21 Mei lalu.

"Ketika itu, mangsa memaklumkan keberadaannya di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban Utara. Sekitar 5 pagi, isterinya cuba menghubungi mangsa namun gagal," katanya.

Katanya mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sabak Bernam untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA