Bagi menjamin masa depan pekebun kecil, kerajaan meluluskan satu Skim Takaful Pekebun Kecil Berkelompok Risda (STPBR) bagi mereka yang masih menerima bantuan tanaman semula Risda.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Hasan Malek berkata perlindungan berbentuk Takaful Khairat Kematian berkelompok akan memberikan pampasan kewangan sekiranya berlaku kemalangan atau sakit yang mengakibatkan kematian.

"Kita sedar mereka ini terdedah kepada pelbagai risiko kemalangan di kebun getah seperti serangan binatang buas, keadaan fizikal kebun yang curam, jalan yang sempit berliku dan cuaca buruk.

"Maka sebab itulah dianggarkan 85,326 orang pekebun kecil akan dilindungi melalui skim ini di mana mereka merupakan nadi penggerak pembangunan ekonomi negara," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Risda dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) berkaitan program pendidikan dan keusahawanan, Isnin.

Ketengah diwakili Pengerusinya yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said manakala Risda diwakili Pengerusinya, Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik.