KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hakikat bahawa ahli partinya sendiri bebas mempersoalkan dasar dan tindakan kerajaan adalah bukti jelas bahawa pentadbirannya tidak meninggalkan agenda reformasi yang dijanjikan.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Christiane Amanpour dari CNN mengenai kritikan oleh ahli partinya sendiri, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang mendakwa bahawa Anwar telah meninggalkan agenda reformasinya mengenai usaha membanteras rasuah.

"Lihatlah dari sudut positif, seorang ahli dari parti saya sendiri menyuarakan kritikan terhadap saya, ia adalah proses yang sangat demokratik.

"Kritikannya mengenai isu itu... apa yang anda kira saya perlu lakukan? Adakah saya kemudian mengarahkan sahaja Peguam Negara supaya mengubah keputusannya?" katanya.

Wawancara dengan Amanpour yang berlangsung di New York disiarkan oleh CNN pada pukul 1 pagi waktu tempatan hari ini.

Terdahulu Anwar yang berada di New York sejak Khamis telah menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, buat kali pertama sebagai perdana menteri hari ini.

Perdana Menteri juga ditanya mengenai kes mahkamah yang melibatkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa kerana membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor, dan Amanpour turut mempersoalkan sama ada ia sekali lagi bertentangan dengan agenda reformasi yang dijanjikan.

"Sistem raja ada tatacaranya...saya rasa ada keperluan untuk melindungi institusi itu, itulah yang rakyat putuskan sejak negara memperoleh kemerdekaan, itulah sistem yang kami warisi.

"Apabila seseorang itu disifatkan menghina raja, dan pertuduhan itu diputuskan oleh Peguam Negara, saya maksudkan ada undang-undangnya, sehingga kita dapat pinda undang-undang itu - undang-undang itu tetap ada.

Anwar berkata walaupun beliau sendiri dihina setiap hari, tiada sesiapa yang didakwa (dengan pertuduhan menghina).



ANWAR-REFORMASI 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR



"Namun apabila anda sentuh mengenai raja-raja, Sultan, kami ada undang-undang (mengenainya).

"Saya tidak boleh dikritik kerana (tindakan) pendakwaan itu, ia keputusan mereka (pendakwa), terutama apabila menyentuh mengenai raja-raja. Jika isunya ialah kritikan terhadap perdana menteri, dan perdana menteri mengambil tindakan, maka ia sah, kritikan anda adalah sah, jika tidak, kita perlu menerimanya," katanya.

Anwar berkata setakat ini tiada siapa yang didakwa kerana mengkritik perdana menteri atau kerajaan.

Mengenai tindakan kerajaan yang melarang penerbitan yang berkaitan dengan lesbian, gay, biseksual, transgender, queer dan sebagainya (LGBTQ+), seperti isu rampasan jam tangan Swatch oleh Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini, Anwar berkata konsensus ramai mesti dihormati.

"Saya tidak akan mempertahankan tindakan itu, tetapi ia undang-undang... orang Islam, begitu juga orang bukan Islam, (sama ada) Kristian atau Hindu atau Buddha, ada kata sepakat dalam negara mengenainya, mereka tidak menerima ini (LGBTQ).

"Tetapi adakah kita kemudiannya ganggu mereka? Itu perkara lain, saya tidak bersetuju sekiranya ada antara mereka yang diganggu," tambahnya.

-- BERNAMA