Tegasnya, pendekatan silo untuk menguruskan institusi-institusi TVET tidak lagi relevan dan memadai.
"Memang betul ada mismatch yang ketara. Sebelum ini kerajaan terdahulu tiada pendekatan yang secara seragam dan terlalu banyak silo dengan agensi yang berusaha dalam keadaan berasingan menyebabkan mismatch ini wujud.
"Maka hasrat kerajaan (kini) untuk membaiki keadaan dan mengurangkan jurang mismatch," katanya sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari di Dewan Rakyat.
Amirudin mahu tahu apakah kekurangan penawaran graduan TVET berdasarkan permintaan industri
serta langkah yang akan diambil untuk mengatasi kelompangan ini.
Kata Chin Tong, Kerajaan mencadangkan agar syarikat-syarikat GLC atau swasta terpilih mengambil alih pengurusan institusi TVET supaya latihan dan pendidikan institusi tersebut memenuhi keperluan industri dan meningkatkan kebolehpasaran graduan teknikal vokasional itu.
Ujarnya, struktur gaji pasaran buruh negara disifatkan terlampau rendah disebabkan kewujudan ramai pekerja asing tanpa kemahiran.
"Apabila majikan mengupah pekerja asing tanpa kemahiran, maka tiada insentif dan dorongan kepada syarikat-syarikat untuk membayar gaji kepada warganegara kita yang berkemahiran.
"Justeru, MITI telah merangka dasar pelaburan baharu yang berasaskan aspirasi pelaburan negara bagi merencanakan agenda pelaburan negara yang holistik, sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta aliran masuk pelaburan ke dalam negara.
"Penerokaan industri baharu juga tidak terhad kepada sektor-sektor baharu sahaja, tetapi merangkumi transformasi automasi dan digitalasi dalam industri sedia ada.
"Transformasi teknologi yang semakin canggih ini memerlukan set kemahiran teknologi yang lebih tinggi dan dapat meningkatkan peluang pekerjaan bagi lepasan TVET," ujarnya.