KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah meningkatkan sasaran daripada 1,000 kepada 1,500 unit pengecas jenis arus terus (Direct Current atau DC) untuk kenderaan elektrik (EV) menjelang 2025.

Timbalan Menteri Liew Chin Tong memberitahu Dewan Rakyat hari ini, pada masa ini terdapat sebanyak 500 pengecas DC di seluruh negara.

Katanya, langkah itu penting memandangkan pengecas DC mampu mengecas kenderaan EV dengan pantas.

"Sekarang ini ada 500, kita harap boleh sampai 1,500, kerana DC adalah 'fast charger'.

"Kedua, EV yang akan datang ada banyak yang ada Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) di mana minyak dan elektrik akan dipakai secara bersama.

"Ini juga akan membantu, (kerana) walaupun stesen pengecas kita tak banyak seperti negara lain, tetapi PHEV adalah salah satu pendekatan untuk elektrifikasi," ujar beliau.

1,500 unit pengecas EV jenis DC menjelang 2025

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang bertanya mengenai strategi kerajaan bagi memastikan pembangunan stesen pengecasan EV mencukupi dan seiring dengan peningkatan penggunaan kenderaan itu di Malaysia. 

Semenyata itu, menjawab soalan tambahan Ku Abd Rahman, Liew berkata MITI sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor dan Johor bagi memastikan setiap daerah mempunyai kemudahan pengecas pantas DC untuk EV.

Katanya, ini merupakan antara langkah bagi mengekalkan sasaran 10,000 stesen pengecasan EV menjelang 2025.

"Kita berharap selepas ujian perintis bersama (kerajaan negeri) Selangor dan Johor, inisiatif ini dapat diperluas ke seluruh negeri (berkenaan) bagi memastikan semua daerah mempunyai kemudahan pengecas DC," katanya. 


MITI dalam usaha memastikan semua daerah ada pengecas EV

Selain itu, menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai langkah kerajaan menggalakkan industri tempatan meningkatkan pengeluaran EV bagi memenuhi permintaan tempatan dan sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2050, Liew berkata kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menyokong pembangunan ekosistem EV dan industri tempatan.

"Hasilnya, sehingga 30 Sept, 2024, sebanyak 33,319 kenderaan elektriktrifikasi (xEV) termasuk Hybrid, Plug-In Hybrid, BEV, dan FCEV telah dijual yang mewakili 5.11 peratus daripada jumlah jualan tahunan. Selain itu, sebanyak 3,354 petak pengecas telah dipasang sehingga 31 Okt, 2024," katanya. 

Sebelum ini pada Oktober, Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebanyak 3,171 unit pengecas EV awam telah dipasang di seluruh negara sehingga 30 September lalu, merangkumi jenis DC dan jenis Alternating Current (AC).