Kerajaan dilihat tidak memandang serius Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang telah dikemukakan pada 16 Mei 2005.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong memberitahu bahawa beliau begitu kecewa dengan jawapan bertulis yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi berkenaan tahap perlaksanaan setiap cadangan yang diberi oleh suruhanjaya itu.

“Saya kecewa kerana jawapan Menteri Dalam Negeri tidak menyenaraikan secara terperinci tahap perlaksanaan setiap cadangan ‘Dzaiddin Commission’,” kata Liew.

Dalam jawapan balas kepada soalan Liew itu, Datuk Seri Zahid Hamidi menjelaskan bahawa terdapat sebanyak 125 cadangan penambahbaikan oleh Suruhanjaya Diraja bagi meningkatkan sistem operasi dan pengurusan PDRM.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 90 cadangan atau 72 peratus telah diklasifikasikan sebagai telah dilaksanakan. 26 cadangan (20 peratus) telah diklasifikasikan dalam perlaksanaan manakala satu cadangan (0.8 peratus) masih diperingkat kajian,” katanya.

Beliau menambah lapan atau 6.4 peratus cadangan diklasifikasikan sebagai tidak dilaksanakan.

“Antara perkara yang menyebabkan sebahagian kecil cadangan-cadangan ini tidak dapat dilaksanakan adalah kerana ianya menyentuh beberapa aspek sperti kerahsiaan dan keselamatan negara, melibatkan kos dan peruntukan kewangan yang terlalu tunggi serta pertindihan akta dan peraturan yang sedia ada,” kata Zahid lagi.