KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melantik wakil belia Felda sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felda bagi bersama-sama membangunkan Felda.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felda adalah bagi mengiktiraf peranan belia Felda.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM); RM200,000 Kami Anak Felda (Kaf) dan RM100,000 Sekretariat Permuafakatan Siswa/Siswi Felda (Persada)

"Pertama, bagi mengiktiraf belia Felda, saya bersetuju supaya melantik belia Felda sebagai ahli lembaga Felda bagi membolehkan belia Felda sama-sama bangunkan negara. 

"Kedua, meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk MBFM; RM200,000 Kaf dan RM100,000 Persada. Saya mengharapkan sumbangan kerajaan akan membantu MBFF, Kaf dan Persada mengadakan program untuk membantu golongan belia," katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Makan Malam Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan MBFM, Kaf dan Persada.

Dalam ucapannya juga, Ismail Sabri menjelaskan Felda adalah projek pembasmian kemiskinan paling berjaya, sistematik dan transformatif.

Di majlis itu juga, perdana menteri turut mengumumkan jawatan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Pengerusi Felda disambung untuk tempoh dua tahun lagi.