Kerajaan berpuas hati dan menerima penjelasan diberikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenaan tindakan mengutus surat kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berhubung status seorang rakyat Malaysia yang menghadapi pertuduhan di Amerika Syarikat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim bagaimanapun menegaskan kerajaan tidak pernah sesekali membela atau melindungi penjenayah tidak kira sama ada mereka penduduk Malaysia mahupun rakyat asing.

"Kerajaan juga sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi keselamatan antarabangsa dalam membanteras jenayah, selagi kerjasama tersebut tidak menjejaskan keselamatan negara," katanya dalam jawapan bertulis pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Shahidan menjawab pertanyaan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) mengenai mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengambil tindakan terhadap Ahmad Zahid yang mengutus surat kepada FBI memberi jaminan dan sokongan rasmi pihak kerajaan terhadap watak dan integriti seorang yang bergelar raja perjudian, tanpa persetujuan ketua polis negara, Kementerian Luar serta ahli-ahli jemaah menteri.

Sebelum ini, Ahmad Zahid menegaskan bahawa surat beliau kepada FBI bukan surat sokongan untuk tidak mendakwa rakyat Malaysia Paul Phua yang sedang menghadapi pertuduhan di Amerika Syarikat.

Beliau berkata surat yang ditulis kepada Timbalan Pengarah FBI Mark F. Giuliano pada 18 Dis tahun lepas adalah untuk menjelaskan status Paul Phua.

Paul Phua dan anaknya, Darren Wai Kit Phua kini dikenakan tahanan rumah di Amerika Syarikat dan menghadapi pertuduhan di mahkamah negara itu bagi penghantaran maklumat pertaruhan dan menjalankan kegiatan perjudian tidak sah di Las Vegas semasa Piala Dunia 2014.

Paul Phua yang cukup terkenal dalam sirkit permainan poker profesional, pernah mengambil bahagian dalam kejohanan Big One For One Drop dalam Siri Poker Dunia 2012.