KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM30 juta dalam Belanjawan 2025 bagi memperhebat usaha membendung kes penipuan dan mempertingkatkan keselamatan siber di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Kewangan itu berkata peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan terus diperhebat dengan peruntukan RM20 juta manakala Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) diberi tambahan perjawatan 100 orang dengan tambahan peruntukan RM10 juta.

Beliau berkata negara-negara yang mencanang kebebasan keterlaluan kini telah mengambil beberapa tindakan untuk mengekang keterlanjuran termasuk yang menyebabkan kematian melalui aplikasi media sosial.

"Ancaman siber kini semakin menggugat tatahidup bermasyarakat dan menjadi lebih membimbangkan. Isu penipuan, pornografi kanak-kanak serta pembulian siber di media sosial sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa ialah isu besar yang mesti dibendung.

"Transaksi mencurigakan lebih RM380 juta berjaya disekat dalam membendung kes penipuan di Malaysia. Kendatipun demikian, isu penipuan masih dilihat parah dengan kes yang kian meningkat," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata Portal Fraud Kebangsaan telah diluncurkan sebagai ikhtiar memerangi penipuan dalam talian dengan mempermudah pengesanan transaksi mencurigakan secara automatik.

"Akta 574 Kanun Keseksaan dan Akta 593 Kanun Tatacara Jenayah telah dipinda bagi membolehkan tindakan lebih berkesan diambil oleh badan penguat kuasa untuk mengekang sindiket akaun keldai pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata bagi mengekang buli siber yang kian merunsingkan, Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian akan digubal untuk memastikan penyedia perkhidmatan turut bertanggungjawab dalam meningkatkan tahap keselamatan khususnya melibatkan kanak-kanak.

-- BERNAMA