KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol untuk memastikan mereka mengeluarkan bekalan minyak segera untuk pasaran.


Ringkasan AI
  • Kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol untuk memastikan bekalan minyak segera dipasarkan.
  • KPDN diarahkan untuk memastikan syarikat pembungkus mengembalikan pengeluaran minyak pada kadar mencukupi dan mempertingkatkan penguatkuasaan bagi mengelakkan penyorokan dan penyelewengan.
  • Gangguan bekalan minyak masak disebabkan kenaikan kos pengeluaran akibat harga minyak sawit mentah dunia yang tinggi, menyebabkan syarikat mengurangkan pengeluaran untuk mengawal kos.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia antara langkah intervensi serta merta selepas taklimat khas bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi.

Beliau menambah, KPDN diarahkan untuk menyusul keputusan tersebut dengan mengarahkan syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol mengembalikan pengeluaran pada kadar yang mencukupi untuk keperluan semasa.

"Pada masa yang sama, KPDN sedang mempertingkatkan penguatkuasaan untuk memastikan tidak ada aktiviti penyorokan dan penyelewengan semua jenis bekalan minyak masak.

"KPDN akan memastikan arahan dan keputusan hari ini dilaksanakan untuk memastikan syarikat terlibat mula meningkatkan semula kadar proses pengeluaran minyak kemasan botol masing-masing secara serta-merta untuk membolehkan kembali stabil segera dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Armizan berkata, antara punca utama berlakunya gangguan bekalan  minyak masak sawit tulen kemasan
botol di pasaran adalah disebabkan kenaikan kos pengeluaran.

Jelasnya, ia berikutan harga minyak sawit mentah dunia di pasaran telah meningkat tinggi sejak dua tahun lalu.

Beliau memaklumkan, dalam tempoh dua bulan pertama 2025, harga purata CPO adalah RM4,672.50 pada Januari dan RM4,759.00 pada bulan Februari.

"Susulan daripada kesan harga tinggi CPO yang berlarutan, syarikat pembungkus minyak masak botol terpaksa mengambil pendekatan mengurangkan pengeluaran untuk mengawal kos pengeluaran kerana terikat dengan perintah penjualan harga kawalan maksimum minyak kemasan botol yang berkuatkuasa.

"Sebagai contoh, perintah tersebut mewajibkan penjualan pada peringkat runcit minyak kemasan botol 5 kilogram adalah pada kadar RM30.90 berbanding harga pasaran berdasarkan kadar CPO dunia iaitu RM36.16," katanya.

Dalam masa sama, Armizan berkata KPDN menghargai keprihatinan dan keputusan segera Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan yang mempertimbangkan serta merta peruntukan insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol.