Kerajaan hari ini mesti berani mengubah suai legasi kerajaan terdahulu yang tidak lagi relevan dengan keadaan semasa yang merugikan rakyat, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Sambil merujuk kepada Perusahaan Otomobil Nasional (Proton), beliau berkata industri automotif alaf baharu sangat kompetitif dan mendorong banyak syarikat dalam bidang berkenaan untuk bergabung.

"Kita bangga Malaysia memasuki industri automotif tetapi keadaan sekarang sangat berbeza. Kita tidak lagi kompetitif malah kerajaan terpaksa memberi subsidi berbilion ringgit untuk memastikan Proton tidak gulung tikar.

"Wang subsidi itu sepatutnya digunakan untuk tujuan yang memanfaatkan rakyat," kata Annuar kepada pemberita selepas memberi ceramah pada Program Penerangan Pemimpin Bersama Akar Umbi peringkat negeri di sini, hari ini.

Turut hadir pada program jelajah siri ketiga itu ialah pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Annuar berkata beliau sendiri menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya legasi negatif tidak kira oleh sesiapa pun yang tidak lagi sesuai atau memberi kesan positif kepada rakyat hendaklah diubah suai.

"Kita tidak mampu berterusan menanggung Proton kerana wang rakyat digunakan untuk menyelamatkan satu model perniagaan yang sepatutnya memilih penggabungan," katanya.

Annuar berkata kos penswastaan yang menjadi bebanan juga harus dikaji semula supaya rakyat tidak dibebankan dengan cukai kelak.

Katanya pihak tidak bertanggungjawab yang memetik Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak bahawa Menara Kembar Petronas boleh diruntuhkan bagi menghapuskan legasi Tun Dr Mahathir adalah tidak benar.

"Pembangkang memutar belit kenyataan Salleh dengan memetik sebahagian sahaja kenyataan beliau sedangkan menteri berkenaan tidak langsung bermaksud mahu meruntuhkan KLCC," jelasnya.

Beliau mahu pemimpin akar umbi dan jentera penerangan UMNO melengkapkan diri dengan pengetahuan supaya tidak terpengaruh dengan persepsi tidak benar.

"Kerja pembangkang mudah sahaja. Mereka cari salah kerajaan untuk menyerang dan kita terpaksa memberi penerangan untuk membetulkannya," kata Annuar. -- BERNAMA