SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam menyediakan tanah untuk sektor pertanian di negeri ini.

Bagaimanapun beliau berkata MAFI harus menilai semula keberkesanan program yang dijalankan oleh agensinya, daripada mendakwa kerajaan-kerajaan negeri tidak menyediakan lebih banyak tanah untuk meningkatkan pengeluaran makanan.

Katanya masih terdapat tanah pertanian yang disediakan kerajaan negeri sebelum ini bagi tujuan aktiviti pertanian, namun ia masih terbiar dan tidak diusahakan sepenuhnya.

"MAFI perlu memainkan peranan mengusahakan tanah tersebut. Misalnya, bagi petani yang mengusahakan tanaman dua tiga ekar ini, bagaimana ia mahu dikembangkan.

"Pengusaha ternakan ikan pula berapa banyak yang telah diternak, kenapa ada kolam ditutup, dan apabila ditutup ia perlu dibantu, tidak boleh dibiarkan begitu sahaja, itu yang sepatutnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Yayasan Negeri Sembilan Bilangan 2, Tahun 2022 di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan MAFI dalam laporan media hari ini yang menyatakan kerenah kerajaan negeri yang didakwa gagal menyediakan kawasan baharu pertanian, menyebabkan negara terpaksa mengimport makanan bernilai RM63.6 bilion tahun lalu.

Dalam perkembangan lain Aminuddin berkata kerajaan negeri melalui Yayasan Negeri Sembilan (YNS) menyediakan 500 komputer riba tahun ini, bagi membantu pelajar-pelajar universiti, yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.2 juta.

Beliau berkata kerajaan negeri juga turut membantu pelajar-pelajar universiti tidak berkemampuan untuk membeli komputer riba mengikut spesifikasi yang diperlukan, bersesuaian dengan jurusan diambil oleh pelajar berkenaan.

"Pemohon harus jujur, saya juga minta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pimpinan masjid dan surau atau keluarga sampaikan maklumat ini kepada mereka memerlukan kepada YNS. Tiada tarikh tutup," katanya.

Terdahulu Aminuddin berkata seramai 20 penerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan telah mendapat bantuan hapus kira pinjaman pendidikan bernilai RM334,800, manakala 100 siswazah cemerlang menerima RM5,000 seorang sebagai penghargaan.

-- BERNAMA