PERMATANG PAUH: Kerajaan Persekutuan sentiasa berusaha membina hubungan baik dengan kerajaan negeri diterajui pembangkang demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat seluruh negara terbela.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau kesal ada pihak menuduhnya zalim apabila peruntukan yang diberikan kepada negeri-negeri khususnya negeri pembangkang tidak sama.

Namun jelasnya, peruntukan tersebut diberi selepas mengambil kira  situasi dan keperluan  di sesebuah negeri.

Beliau berkata, buktinya negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis ditambah peruntukannya bukannya dikurangkan.

Anwar berkata, kerajaan Persekutuan dan negeri perlu 'mempertajamkan' persaudaraan dengan tidak menjadikan politik sebagai perbezaan supaya kehidupan rakyat terbela.

"Sebab itu saya nak bezakan di antara fakta dan rekaan, rekayasa  di dalam politik  jangan cakap semborono mesti berdasarkan fakta.

"Jadi alhamdulillah, semalam ada perjumpaan dengan MB Kelantan bagi beberapa (permohonan) saya terus catit bagi arahan.

"Saya bincang dengan Menteri Besar Kelantan kerana kita nak tambah projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) baharu... tambah... jimatkan belanja RTB, tambah projek besar di Sungai Golok kerana masalah banijr di Kelantan lebih berat daripada banjir di Permatang Pauh.

"Itulah cara kerjasama Persekutuan dan negeri... masa pilihan raya lawanlah,  (sekarang jangan lawan) baru boleh jaga kehidupan rakyat," katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, apa yang diterapkan dalam pentadbirannya adalah berdasarkan konsep MADANI dan bukannya sekadar slogan semata-mata.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi, Pulau Pinang di Mengkuang Titi, pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Pada majlis itu, Anwar meluluskan peruntukan RM5.4 juta ringgit bagi melengkapkan dana pembinaan Masjid Mengkuang Titi di Kubang Semang , Pulau Pinang.

Projek yang menelan kos keseluruhan RM9 juta itu dijangka akan memulakan kerja pembangunan tahun hadapan dan siap sepenuhnya pada 2025.