KUALA LUMPUR : Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) komited untuk terus meningkatkan pelaburan asing melalui insentif penerbitan filem dan perjanjian produksi antarabangsa dengan negara seperti China, Korea Selatan dan Indonesia.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pemerkasaan itu dibuat bagi memastikan sektor kreatif negara berkembang sebagai jentera ekonomi yang berkesan sama seperti Korea Selatan, China, Jepun dan Amerika Syarikat.

"Menyedari kepentingan pemulihan semula industri kreatif negara, kerajaan juga telah merancang pelbagai pelan pembangunan jangka panjang melalui Rancangan Malaysia ke-12 yang disasar bagi meningkatkan sumbangan sektor kreatif kepada keluaran dalam negara kasar sebanyak hampir 20 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu RM26.8 bilion pada 2020 kepada RM31.9 bilion menjelang 2025," kata beliau.

Malah katanya, kerajaan menerusi Belanjawan 2023 lalu telah memperuntukkan RM102 juta sebagai dana kandungan digital, pemotongan cukai kepada sumbangan tabung komuniti filem dan pembangunan filem kenegaraan, serta pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi.

Beliau berkata demikian dalam majlis sambutan Hari Seniman Kebangsaan 2023 (HSK 2023) di Bangunan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Hulu Kelang pada Isnin.

Beliau dalam masa sama amat menghargai penggiat industri kreatif negara yang bukan sahaja menyumbang kepada negara di peringkat tempatan, tetapi juga di peringkat global.

Kata beliau, tema 'Filem Wadah Perpaduan Titian Keharmonian' untuk sambutan Hari Seniman Kebangsaan tahun ini simbolik kepada penghargaan seni dan budaya yang membentuk identiti negara, selain buat mereka yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa seperti Tan Sri Michelle Yeoh.