KOTA BHARU: Susulan banjir kilat yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Kerajaan Perpaduan memberi jaminan untuk mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau kini berada di Kelantan hari ini untuk memantau situasi banjir di negeri itu.

“Saya berada di Kelantan pagi ini untuk melihat sendiri situasi bencana banjir yang sedang berlaku serta susun atur pasukan bertugas di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

“Tentunya sukar situasi yang sedang menimpa rakyat hari ini, Kerajaan Perpaduan Malaysia komited terhadap usaha meringankan beban serta mencari jalan keluar terhadap permasalahan yang membelenggu ini, InsyaAllah,” katanya.

Ujar Saifuddin, taklimat banjir hari ini disampaikan oleh Ketua Polis Kelantan Dato’ Muhamad Zaki bin Haji Harun.


LAPORAN KOMPREHENSIF BANJIR DI SINI


Kredit: FB Saifuddin Nasution

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Perdana Menteri meluluskan bantuan RM100 juta untuk negeri Kelantan dan Terengganu dalam usaha meringankan beban rakyat akibat bencana Monsun Timur Laut.

Semalam Saifuddin mengumumkan Kementerian memberi jaminan akan memudahkan proses permohonan dokumen pengenalan diri dan passport yang hilang atau rosak bagi mangsa banjir.

"Buat masa sekarang keutamaan adalah nyawa dan harta benda, sekiranya keadaan banjir reda kementerian dan agensi di bawah KDN akan segerakan untuk dapatkan dokumen ganti tanpa sebarang caj," ujarnya lagi.