Kerajaan bercadang untuk menyambung lesen operasi Lynas Corp (Lynas) untuk menjalankan operasi pemprosesan nadir buminya di negara ini, lapor Reuters yang memetik sumber dalaman.

Bagaimanapun tempoh sambungan itu adalah lebih singkat berbanding tempoh tiga tahun yang diberikan sebelum ini.

Sumber itu memaklumkan, tempoh sambungan lesen masih belum dimuktamadkan.

Pengumuman rasmi mengenai perkara ini dijangka dibuat kerajaan pada pertengahan bulan ini.

Laporan itu menyebut Lynas juga enggan memberi maklum balas apabila ditanya mengenai perkara ini.

Reuters turut gagal memperoleh maklum balas daripada Pejabat Perdana Menteri mengenai perkara terbabit.

Lesen operasi Lynas berakhir pada 2 September ini. Ia merupakan pengeluar nadir bumi terbesar di luar China.

Nadir bumi digunakan untuk pelbagai peralatan dari peralatan ketenteraan sehinggalah peranti elektronik berteknologi tinggi.