Kerajaan masih mengekalkan kebenaran rumah ibadat bukan Islam dibuka untuk sehari atau dua hari sahaja yang bermula 10 Jun lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini, 171 rumah ibadat bukan Islam sudah dibuka dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

"Pusat ibadat ini sepatutnya buka 10 Jun dengan satu atau dua hari sahaja itu yang mana hari penting. Jadi sebagai contoh penganut Kristian (ke gereja) setiap Ahad iaitu hari besar mereka. Jumlah yang akan mengamalkan ibadat tidak boleh lebih 30 orang. Setakat ini 171 (rumah ibadat) sudah dibuka.

"Namun dengan perkembangan terbaharu dari segi jemaah di masjid, kita telah beri kelonggaran bukan lagi 30 tetapi berdasarkan 1 per tiga daripada jumlah sepatutnya sembahyang. Maknanya kalau biasa boleh muatkan 3,000 jemaah maka 1,000 boleh dibenarkan. Maka jika ada perubahan baharu dalam rumah ibadat Islam, akan ada juga bagi rumah ibadah bukan Islam," katanya dalam sidang media harian di sini pada Jumaat.

Jelasnya lagi, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique akan membentangkan cadangan tambahan hari untuk rumah ibadat berkenaan Isnin depan.

"Datuk Halimah Mohamed Sadique akan membentangkan SOP baharu rumah ibadat bukan Islam pada Isnin nanti. Nanti mungkin akan ada cadangan tambahan hari (untuk rumah ibadat bukan Islam) Jadi tunggu Isnin nanti," ujar beliau.