KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil beberapa pendekatan baharu di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta Belanjawan 2022 dalam memastikan sektor kesihatan awam terus bertahan.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ia termasuk mewujudkan satu talian khusus dalam menawarkan bantuan segera serta menguruskan COVID-19.

"Kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan kesihatan awam terus bertahan menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kemudiannya Belanjawan 2022.

"Antara pendekatan baharu yang akan diambil, kerajaan ketika ini dalam proses mewujudkan satu talian khusus untuk memberikan bantuan segera serta menguruskan COVID-19.

"Kedua, penjujukan genom akan dilakukan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dalam mengenal pasti dan mengesan kehadiran serta penyebaran varian baharu di negara ini," kata Tengku Zafrul.

Selain itu, kerajaan juga, jelas Tengku Zafrul, akan menambah baik strategi Cari-Uji-Jejak-Asing-Sokong (FTTIS) dan melihat kaedah berkesan dalam menguruskan imptom susulan selepas sembuh COVID-19 atau 'long COVID'.

"Kelima, pemfaktoran dos ketiga vaksin atau program vaksinasi tahunan dalam protokol kesihatan awam negara," katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, jelas Tengku Zafrul ketika ini juga kerajaan sedang menjalankan kajian dalam memperkukuhkan sistem kesihatan awam.

Ia bagi memastikan sistem kesihatan sentiasa bersedia serta ketahanan menghadapi pandemik dalam jangka masa panjang.

"Polisi yang sedang dikaji termasuk mewujudkan sistem 'sentiasa aktif' dan perkongsian yang cepat agar skala wabak dapat dikesan dengan cepat. Memperkukuhkan mekanisme nasional dan tempatan untuk mengesan penyakit berjangkit terutama dalam menghentikan penularan pada peringkat awal.

"Memastikan sistem kesihatan bersedia berdepan lonjakan kes sementara disamping perkhidmatan penting masih berjalan, dan membangunkan agenda pencegahan wabak secara bersepadu," katanya lagi.

Kesemua polisi terbabit jelas Menteri Kewangan itu, dijangka dapat memberi impak yang berkesan dalam melindungi nyawa rakyat dan masyarakat serta sektor ekonomi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pembukaan Sidang Kemuncak Pemulihan Negara anjuran Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur secara maya pada Khamis.