Kerajaan akan mewujudkan 'Counter-Messaging Center' bagi menangani isu anti-keganasan yang semakin berleluasa terutama melibatkan militan IS.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pusat tersebut akan turut mengambil kira pandangan ahli ulama dan masyarakat Islam di negara ini serta seluruh dunia.

"Melalui Counter-Messaging Center tersebut, Malaysia akan berkongsi maklumat yang diperoleh dengan negara-negara lain.

"Selain itu, perbincangan saya dengan Menteri Perundangan Australia, Michael Keenan memberi hasil bahawa pihak Australia sendiri turut menawarkan bantuan kepada Malaysia dalam usaha memperkembangkan Counter-Messaging Center ini," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Isnin.

Reezal Merican berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat dan perbincangan dua hala bersama Keenan di pejabatnya.

Jelasnya, antara isu yang dibincangkan semasa mesyuarat berkenaan adalah langkah yang diambil Malaysia dalam menangani isu anti keganasan.

"Perkara tersebut turut dibincangkan dalam mesyuarat di antara perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull sebelum ini iaitu pada 22 November lepas.

"Dalam hal ini, Malaysia telah menyatakan penyertaan dalam Global Coalition Against ISIL," ujarnya.

Dalam pada itu, kata Reezal Merican, negara turut mempunyai Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) yang turut berkerjasama dengan pihak Australia dalam menangani isu-isu anti keganasan.

"Melalui SEARCCT, pihak Malaysia dan Australia turut berkongsi pengalaman dan maklumat yang boleh digunakan dalam menangani keganasan.

"Pihak Malaysia turut menawarkan pelbagai kursus bina upaya yang diperoleh daripada kerjasama dengan pihak Australia, dan turut dikongsi dengan negara-negara jiran yang lain," jelasnya.

Tambahnya, negara ASEAN yang lain turut menyatakan sokongan terhadap langkah-langkah yang dijalankan oleh SEARCCT itu.

"Kita turut mengalu-alukan kerjasama daripada pihak Australia dalam usaha-usaha menangani anti keganasan yang dijalankan oleh SEARCCT," katanya.