Keputusan penting oleh Mahkamah Rayuan yang memutuskan seseorang penganjur yang gagal memberi notis 10 hari kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan tidak mengundang hukuman jenayah di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012, dikekalkan.

Ini selepas pihak pendakwa raya menarik balik rayuannya di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi dituduh gagal memberi notis kepada polis daerah dalam tempoh 10 hari yang diperlukan bagi penganjuran perhimpunan 'Black 505' di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei, 2013, mengikut Seksyen 9(5) PAA yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Pada 25 April, tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Ariff Mohd Yusof memutuskan Seksyen 9 (5) PAA tidak berperlembagaan kerana sebarang ketidakpatuhan di pihak penganjur tidak mengundang hukuman jenayah.

Hakim Mohd Ariff memutuskan peruntukan PAA tidak boleh ditafsirkan sebagai tidak mematuhi undang-undang hanya kerana perhimpunan itu diadakan tanpa memberi notis dalam tempoh 10 hari yang ditetapkan atau notis disingkatkan.

Seorang lagi hakim, Hakim Datuk Mah Weng Kwai pula berkata Seksyen 9 (5) PAA yang menetapkan kegagalan penganjur memberikan notis 10 hari sebelum mengadakan perhimpunan sebagai perlakuan jenayah adalah tidak munasabah kerana ia umpama melarang diadakan perhimpunan segera atau spontan.

Beliau berkata hak untuk menganjurkan perhimpunan aman hanya boleh disekat secara munasabah dan bukan dilarang seperti didefinisikan dalam Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.

"Dengan menjadikannya satu kesalahan dan menghukum penganjur mengikut Seksyen 9 (1) dan 9 (5) PAA, ia mewujudkan kedudukan tidak konsisten dan tidak selari.

"Seksyen itu menyekat hak perayu (Nik Nazmi) terhadap kebebasan untuk mengadakan perhimpunan aman apabila menjadikan kegagalan memberi notis kepada ketua polis daerah sebagai satu perlakuan jenayah," kata Mah.

Pada prosiding hari ini, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, yang mempengerusikan panel lima anggota Mahkamah Persekutuan membatalkan rayuan pihak pendakwa raya selepas pihak pendakwa raya menarik balik rayuannya.

Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup memaklumkan kepada panel hakim bahawa pihak pendakwa raya menarik balik rayuan itu kerana kes itu bermula di Mahkamah Sesysen dan perlu berakhir di Mahakmah Rayuan.

Semasa ditanya oleh pemberita, peguam Latheefa Koya yang mewakili Nik Nazmi berkata keputusan hari ini bermakna keputusan Mahkamah Rayuan itu dikekalkan.

Susulan itu, Nik Nazmi turut dibebaskan daripada pertuduhan gagal memberi notis 10 hari yang diperlukan kepada polis daerah berhubung penganjuran perhimpunan Black 505, selepas Mahkamah Rayuan pada 25 April tahun lepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan pertuduhan itu.

Nik Nazmi memfailkan rayuan itu selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Nov, 2013 menolak permohonan untuk membatalkan pertuduhan itu.