KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan bagi membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand seperti dicadangkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu melalui perbincangan Kabinet.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Hussain berkata ini kerana perkara berkenaan melibatkan akta dan perundangan.

"Daum ketum ini diletakkan di bawah Akta Racun, ini mungkin pada saya MB (Menteri Besar) Kedah (Muhammad Sanusi) mempunyai pendapat beliau sendiri dan sekiranya perkara ini bagus mungkin perlu dibawa ke pusat (kerajaan Persekutuan) sebelum diluluskan.

"Apabila ia diluluskan, daum ketum ini perlu dikeluarkan daripada akta," katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Menandatangani MoU antara KOP Mantap bersama rakan strategik di Maktab Polis Diraja Malaysia Cheras, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhammad Sanusi yang mencadangkan kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada Kedah bagi mengeksport ketum secara sah ke Thailand bagi tujuan perubatan.

Hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan kementeriannya tidak akan membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand seperti yang dicadangkan Muhammad Sanusi.

Ini kerana perkara itu bertentangan dengan Akta Racun 1952 yang dikuatkuasakan di negara ini, antara lain melarang sebarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram.

Mengulas mengenai pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 yang telah diluluskan kerajaan, Razarudin meminta orang ramai agar berwaspada dan tidak terpengaruh dengan sebarang kegiatan penipuan (scam) yang mengambil kesempatan.

"Kami sentiasa memantau kegiatan scam ini dan telah banyak berikan nasihat terutamanya dalam media sosial namun masih ramai yang masih menjadi mangsa.

"Saya tidak faham, bagaimana boleh berlaku (orang ramai jadi mangsa) sedangkan polis telah berulang kali memberi peringatan tapi masih ada lagi yang tertipu," katanya.

Semalam, kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan keputusan itu sukar dibuat kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat, namun pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

-- BERNAMA