KEGEMBIRAAN dan kesyukuran merupakan dua perkara yang tidak dapat diterjemahkan dengan kata-kata oleh Asria Nur Hasan yang juga bapa kepada Siti Aisyah, warganegara Indonesia yang dilepaskan oleh mahkamah Malaysia semalam.

Asria hanya mampu menangis sebaik melihat kelibat anaknya di depan mata selepas hampir dua tahun menanti kepulangan Siti Aisyah, 26.

Bahkan suasana menjadi lebih pilu dan hiba apabila Asria mendekati Siti Aisyah serta berusaha untuk sujud dan mencium kaki anak perempuannya itu.

Menurut portal media Indonesia, Siti Aisyah bagaimanapun sempat mengelak dan mengangkat badan bapanya lalu memberi pelukan erat sebagai tanda pelepas rindu kepada orang tuanya.


Suasana di Pejabat Kementerian Luar Negeri, Jakarta Pusat ketika itu bertukar hening dan disusuli tangisan kesyukuran.

Asria ketika ditemui media tempatan menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam membantu membebaskan anaknya.

“Saya mahu mengucapkan beribu-ribu terima kasih atas bantuan pemerintah kita, atas bantuan apapun yang sudah membantu membebaskan anak saya, baik daripada pihak menteri,” kata Asria lagi.

Siti Aisyah selamat tiba di Lapangan Terbang Halim Perdana Kesuma, Jakarta pada pukul 5 petang Isnin dengan pesawat khas yang diuruskan Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur.

Pada 2017, Siti Aisyah ditahan dan dituduh atas dakwaan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam.

Siti Aisyah dan seorang warga Vietnam, Thi Huong, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas, membunuh Kim Jong-nam, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 9 pagi 13 Februari 2017.

Jong-nam didakwa dibunuh dengan senjata kimia maut iaitu agen saraf VX.

Bagaimanapun, pada Isnin, gadis yang berasal dari Serang, Indonesia itu boleh menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor melepaskan Siti Aisyah tanpa membebaskan.


BACA: Pembunuhan Kim Jong-Nam: Ucapan pertama Siti Aisyah selepas dibebaskan

BACA: Pembunuhan Kim Jong-Nam: Siti Aisyah berlepas pulang ke Indonesia naiki jet swasta