TAIPING: Seorang lelaki ditemukan lemas hari ini, selepas dikatakan tergelincir dan dihanyutkan kepala air di Burmese Pool Bukit Larut, dekat sini, semalam.

Mayat mangsa, S Jeremy Anthony, 28, yang beralamat di Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang, ditemukan kira-kira jam 10.10 pagi ini di kawasan Sungai Bukit Teguh, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, mangsa ditemukan dalam air dengan keadaan tertiarap serta muka terlungkup di dalam air dan hanya berseluar pendek.

“Pemeriksaan fizikal ke atas tubuh badan si mati dapati terdapat kecederaan di hidung dan tiada tanda unsur-unsur jenayah ditemui,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa bersama empat lagi rakannya, termasuk seorang wanita datang ke Burmese Pool kira-kira jam 4.50 petang semalam, untuk beriadah.

Bagaimanapun, katanya, cuaca bertukar hujan dan kesemua mereka telah bersiap sedia untuk meninggalkan lokasi kejadian.

Mangsa dikatakan menyeberangi sungai untuk mengambil beg galasnya yang diletakkan di seberang sungai.

“Ketika mangsa hendak berpatah balik ke seberang sungai untuk bergerak balik, mangsa telah tergelincir ke dalam sungai dan waktu yang sama berlaku kejadian kepala air yang deras dari arah hulu sungai dan mangsa telah dibawa arus yang laju,” ujarnya.

Razlam berkata, usaha mencari dan menyelamatkan diberhentikan buat sementara pada jam 8 malam tadi kerana keadaan hujan lebat dan arus sungai laju.

Beliau menambah, operasi telah disambung semula jam 8.05 pagi ini sehingga mayat mangsa ditemui.

Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat.