LANGKAWI: Hujan lebat lebih dua jam mengakibatkan kejadian kepala air di tapak letak kenderaan Langkawi Skybridge Cable Car, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1 hingga 2.30 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa.

Katanya, hanya kerosakan pada gerai niaga dan medan selera, selain membabitkan kereta dilaporkan.

Sebuah kereta dihanyutkan kepala air di kawasan letak kenderaan kereta kabel Langkawi.

“Kerosakan melibatkan lima buah kiosk, medan selera yang menempatkan lapan peniaga, kedai menjual pakaian dan sebuah kafe.

“Turut mengalami kerosakan sebuah kereta yang dihanyutkan air yang ditemui di dalam sungai selain beberapa kenderaan lain yang mengalami kerosakan kecil,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Shariman berkata, pihak polis telah membuat kawalan di laluan masuk di kawasan terlibat untuk mengelakkan orang awam memasuki kawasan terbabit sehingga air surut.

Keadaan kawasan parkir kereta kabel Langkawi selepas air surut.