Menurut laporan Malaysia Insight, Kausikan dalam satu majlis di Republik itu berkata wujud ketidakstabilan politik dalam kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) ketika ini dan kegagalan mendapatkan sokongan orang Melayu memudaratkan hubungan antara Malaysia dan Singapura.
Kausikan membuat kenyataan itu dalam satu syarahan awam di Universiti Nasional Singapura pada Jumaat.
“Jika diletakkan dalam konteks hubungan dua negara, ianya mengabaikan prinsip diplomasi tetangga. Dalam konteks ASEAN, ini akan memecahkan keharmonian negara-negara anggota yang sentiasa dapat berbincang pelbagai isu dengan baik”, kata Yusmadi ketika dihubungi Astro AWANI.
BACA: Tiada penyelesaian mudah dalam rundingan Malaysia-Singapura - Penganalisis
Yusmadi menegaskan kenyataan Kausikan ini tidak boleh dianggap remeh apatah lagi ianya dilakukan oleh bekas diplomat kanan Singapura yang berpengalaman.
“Sekiranya kenyataan ini yang dibuat, saya pasti ianya mempunyai pertimbangan atau percaturan tertentu.”
“Perkara sebegini perlu dipinggirkan, kerana serumit mana pun hubungan kedua-dua buah negara, ianya telah menyumbang pada pembangunan kedua-dua negara. Jadi jika ada individu yang mahu mengeruhkan keadaan ini, ianya perlu dihalang.
“Kenyataan ini adalah satu pendekatan yang angkuh seolah-olah wujud satu keadaan istimewa buat Singapura itu.”
Tambah Yusmadi, ASEAN memerlukan pendekatan diplomasi yang ke hadapan bukan seperti mana yang dilakukan oleh Kausikan itu.
Ini bukanlah pertama kali, Kausikan mengeluarkan kenyataan seperti ini.
Pada Disember lalu, di laman Facebooknya, Kausikan menuduh Malaysia cuba ‘menjinakkan’ Singapura dalam usaha mengalihkan perhatian ketidakstabilan politik yang berasaskan kaum di negara ini.
Kausikan sebelum ini menjawat jawatan sebagai diplomat kanan Kementerian Luar Singapura dan pernah berkhidmat sebagai Wakil Tetap Singapura di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.