Setiap Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mempunyai kekuatan dan kelainan masing-masing dalam mengumpul dana membantu golongan memerlukan.

Namun bagi Kengkawan Project, mereka mempunyai cara tersendiri dalam mengumpul dana.

"Bagi kami (Kengkawan Project), kami tidak khusus pada satu. Mungkin sesetengah NGO itu, khususnya pada rakyat Palestin dan Syria contohnya, tapi bagi kami, kami beri menyeluruh - kepada rakyat kita, masyarakat kita - pekerja Alam Flora, mereka yang cuci bangunan, yang cuci jalan, pekerja tol dan sebagainya", jelas Norhana Osman Haron, Pengasas Kengkawan Project.

Lebih daripada itu, projek mereka bukan hanya tertumpu dalam negara, malah melibatkan rakyat di luar negara.

Misalnya, Kengkawan Project pernah mengumpul dana untuk Misi Pembedahan Katrak dan Pemulihan Mata untuk rakyat Bangladesh, bantuan di madrasah dan pusat asuhan anak-anak di Bukit Tinggi, Sumatera Barat Indonesia, sarapan buat pelajar Malaysia di Istanbul, Turki dan lebih manis sumbangan makanan kepada para pekerja Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Tonjol kelainan

Kata Norhana, kelainan yang ditonjolkan Kengkawan Project ini membuatkan aktiviti yang dijalankan lebih menarik dan meriah di samping ikatan persahabatan yang utuh antara satu sama lain.

"Kalau ikutkan aktiviti, kami tidak tertumpu kepada anak yatim atau gelandangan semata-mata. Dalam Kengkawan ini, setiap ahli mempunyai minat yang berbeza, matlamat kami sama cuma cara berbeza.

"Ada yang suka cari dana dengan muzik, ada yang buat konsert ,ada juga yang buat festival dan pelbagai lagi, Jadinya, Kengakwan ini punyai kekuatan masing-masing tetapi matlamat kami sama- kumpul dana kepada yang memerlukan", jelasnya lagi.

Kengkawan Project yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu ini, adalah cetusan idea Norhana dan suaminya, Faizal Mahmood ketika mengejarkan ibadah umrah bersama enam rakan lain.

"Kami bergabung semasa kami buat umrah. Masa di umrah, pengalaman kita suka memberi, apabila kita mengerjakan umrah di tempat yang baik, di tanah suci, kita sangat senang memberi tapi istiqamahnya apabila kita pulang dari tanah suci itu.

"Jadi dari situ kami kawan-kawan sepakat untuk meneruskan aktiviti yang dilakukan semasa umrah tempoh hari, maksudnya bukan sahaja di tanah suci tapi kita lanjutkan. Itulah tercetusnya Kengkawan Project hingga ke hari ini," ujar Faizal.



Sedekah jariah

Disebalik kisah itu, Norhana dan Faizal yang sudah berkahwin selama 13 tahun mempunyai cerita tersendiri yang mendorong mereka untuk terus kuat dan gigih meneruskan usaha murni mereka.

"Ada satu hadis saya dengan Faizal pegang, iaitu apabila meninggalnya seorang anak Adam itu, maka terputusnya segala amalnya, kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah yang berpanjangan, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh.

"Memandangkan kami tidak dikurniakan zuriat lagi, selalu juga terfikir dengan Faizal macam mana untuk mendapatkan doa anak yang soleh ini?" kata Norhana.

Menurutnya, Allah sedang menguji mereka dari aspek memiliki zuriat sendiri. Namun, Allah juga yang memberikan mereka satu nikmat yang tidak terjangkau iaitu membentuk kumpulan yang dapat berbakti kepada anak yatim, anak terbiar, anak jalanan, anak yang dibuang keluarga dan macam-macam latar belakang lagi.

"Mungkin kami harap salah seorang antara anak-anak itu yang ingat pada kami, yang mungkin dalam ada doanya ada nama kami yang amat kami dambakan, Insya-Allah. Itu dorongan paling kuat," jelas Norhana.

Antara projek yang telah dilaksanakan Kengkawan Project termasuklah, Misi Bantuan Banjir kepada mangsa banjir di negeri Pantai Timur, Konsert Amal Mata Hati, Cuci Surau, Free Breakfast, Projek Khatan, Hadtih Open Mic, F.LO.H Festival dan pelbagai lagi.

"Harapan kami besar, antara yang paling kami harapkan secara peribadinya, supaya ada org yang sanggup meneruskan kerja amal kami ini kerana umur kita tidak panjang.

"Kita pun tidak tahu mungkin esok, lusa, kita tiada. Tapi saya harap ahli Kengkawan yang lain akan meneruskan jariah ini, bukan sahaja ahli tapi masyarakat luar yang mungkin terinspirasi dengan cara kami, akan berbuat demikian untuk orang lain," katanya mengakhiri perbualan.