IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia memasang kamera litar tertutup (CCTV) jika perbuatan vandalisme seperti kencing dan membuang sampah di dalam lif projek Program Perumahan Rakyat (PPR) masih berlaku.


Ringkasan AI
  • Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengambil langkah untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lif-lif projek Program Perumahan Rakyat (PPR) sebagai tindakan pencegahan terhadap vandalisme. Menteri KPKT, Nga Kor Ming, menyatakan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk menaik taraf lif PPR di seluruh negara.
  • Beliau menyeru penghuni PPR agar menjaga lif dengan baik dan mengelakkan perbuatan vandalisme seperti kencing dan membuang sampah di dalam lif. Beliau juga menegaskan bahawa penghuni tidak sepatutnya memaksa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memasang CCTV dalam lif.
  • Sebagai contoh, pada tahun 1970-an di Singapura, bekas Perdana Menteri, Mendiang Lee Kuan Yew, terpaksa memasang CCTV dalam lif apabila ada laporan mengenai orang yang kencing di dalam lif. Oleh itu, beliau menekankan pentingnya yuran penyelenggaraan untuk membolehkan PBT menjalankan kerja-kerja senggaraan yang telah ditetapkan.


Menterinya, Nga Kor Ming berkata, untuk tahun lalu dan tahun ini sahaja, kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk menaik taraf lif PPR di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama penghuni PPR untuk bersama-sama menjaga lif dengan baik di samping membayar yuran penyelenggaraan.

“Penduduk kena buat dua perkara, pertama elakkan vandalisme, sayangkan semua yang kita pasang, jangan rosakkan, jangan kencing dalam lif, jangan buang sampah dalam lif, jangan paksa saya pasang CCTV dalam lif.

“Itu pernah berlaku pada 1970an di Singapura, apabila Mendiang Lee Kuan Yew (bekas Perdana Menteri) mendapati ada orang kencing dalam lif.

“Jadi kerajaan Singapura dipaksa untuk memasang CCTV dalam lif,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan jalan utama Bandar Seri Botani, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, yuran penyelenggaraan sangat penting bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat  kerja-kerja senggaraan yang telah ditetapkan.

Menurutnya, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan PBT tidak dapat membuat penyelenggaraan yang akhirnya menyusahkan penghuni sendiri.