KUALA LUMPUR: Pengumuman oleh Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berhubung kuota haji sebanyak 14,306 jemaah pada tahun ini, memberi sinar harapan kepada umat Islam negara ini menunaikan haji, selepas ibadah itu tertangguh selama dua tahun sebelum ini.

Lembaga Tabung Haji (TH) pada sidang media pada Jumaat pula mengumumkan kadar kos haji tahun ini sebanyak RM10,980 bagi jemaah golongan B40 manakala RM12,980 bagi golongan bukan B40 yang masing-masing, menunjukkan peningkatan RM1,000 dan RM3,000 bagi kedua-dua golongan itu.

Walaupun kos haji pada tahun ini ada peningkatan, namun rata-rata umat Islam yang ditemui memahami rasional di sebalik peningkatan berkenaan dan menganggapnya sebagai wajar dan perlu memandangkan situasi COVID-19 yang masih melanda, serta peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi dalam menanganinya.

Di SELANGOR, seorang pekerja swasta, Mohd Khairul Rusli, 37, berkata walaupun terdapat peningkatan kos menunaikan haji pada tahun ini namun kos itu dianggapnya sebagai masih berpatutan dan relevan.

"Kita perlu melihat di sebalik peningkatan kos.. cukai meningkat, dan caj perkidmatan juga meningkat, lebih-lebih lagi keadaan semasa dunia yang perlu berhadapan dengan wabak COVID-19. Pelbagai perkara menyumbang kepada kenaikan kos, kita tidak dapat nafikan perkara itu.

"Lagipun kos itu tidak naik sejak 2009. Kita tetap perlu bersyukur kerana kos selebihnya masih ditampung Tabung Haji," katanya kepada Bernama.

Sementara itu di KEDAH, Pengarah Urusan Syarikat Ayam Bismi Sdn Bhd, Mazlina Kamarudin, 54, yang baharu sahaja pulang dari menunaikan umrah selama 21 hari berkata beliau memahami tindakan TH yang terpaksa menaikkan kadar bayaran haji berkenaan.

"Kenaikan kadar bayaran ini, saya setuju, sebab banyak faktor yang menyumbang kepada kenaikan itu dengan keadaan mata wang negara yang tidak stabil, kos bayaran hotel serta kos-kos yang melibatkan pengurusan COVID-19, jadi ia memang tidak dapat dielakkan lagi," katanya.

Beliau berkata sekiranya keadaan semakin pulih dan reda terutamanya situasi COVID-19, mungkin kadar bayaran haji itu dapat dikurangkan sedikit bagi membolehkan lebih ramai umat Islam terutamanya di Kedah untuk mengerjakan haji.

Sementara itu pesara kerajaan, Ibrahim Ahmad, 68, berkata walaupun kenaikan kadar bayaran itu sedikit membebankan terutama bagi golongan kurang berkemampuan, namun TH masih memberi bantuan kewangan secara bersasar yang sedikit sebanyak dapat membantu mereka menunaikan haji.

Di JOHOR BAHRU, peguam Nor Faizah Zainuddin, 53, berkata pengumuman kos haji bagi jemaah haji kumpulan B40 dan kumpulan selain B40 itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada bakal jemaah haji yang akan menunaikan ibadah berkenaan tahun ini.

Nor Faizah yang pernah terpilih menunaikan haji pada tahun 2020 namun dibatalkan ekoran wabak COVID-19 berkata umat Islam tiada pilihan dan terpaksa akur dengan kenaikan itu disebabkan kos-kos tertentu yang melibatkan negara Arab Saudi.

Di KELANTAN seorang pekerja swasta, Mohd Iskandar Yusoff, 50, berkata beliau melihat jemaah masih mampu untuk membayar kos itu biarpun ada peningkatan bayaran haji tahun ini.

"Kita memahami faktor di sebalik peningkatan kos itu terutama ketika dunia menghadapi pandemik COVID-19. Apa yang penting kita perlu bersyukur dengan peluang yang diberikan memandangkan pada musim ini perjalanan untuk menunaikan haji bukan mudah kerana perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sekali gus menyebabkan peningkatan kos tambahan," katanya.

Seorang lagi pekerja swasta, Mohd Amizul Fazly Muhamed Sudin, 44, berkata usaha TH yang masih mengekalkan subsidi kepada jemaah haji pada tahun ini adalah sangat baik terutama bagi jemaah B40 yang dilihat lebih terkesan dengan impak pandemik COVID-19.

"Saya mengucapkan tahniah kepada TH dan ini jelas menunjukkan peranan TH sebagai badan yang bertanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan haji yang terbaik dan masih relevan kepada rakyat Malaysia," katanya.

-- BERNAMA