Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan pemeriksaan percuma di pusat pemeriksaan PUSPAKOM boleh membuat janji temu dalam talian MyPUSPAKOM di www.mypuspakom.com.my.
Selain daripada pusat pemeriksaan PUSPAKOM, orang ramai juga boleh mendapatkan pemeriksaan percuma ini secara ”walk-in” melalui Unit Pemeriksaan Bergerak PUSPAKOM pada tarikh dan tempat yang ditetapkan seperti di bawah:

Kempen VVI percuma ini melibatkan 25 item pemeriksaan iaitu brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap, lampu, bahagian bawah dan atas kenderaan, ketelusan cahaya cermin dan lain-lain lagi yang bertujuan memastikan tahap kondisi kenderaan adalah selamat untuk dipandu terutamanya ketika pulang ke kampung pada musim perayaan nanti.
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM Shukor Ismail berkata, kempen ini merupakan tanggungjawab korporat PUSPAKOM bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan pemeriksaan kenderaan secara berjadual untuk memastikan tahap keselamatan kenderaan lebih-lebih lagi ketika musim perayaan di mana jumlah kenderaan di jalan raya dijangka tinggi.

"Untuk pengetahuan orang ramai, di PUSPAKOM kami menggunakan alat pemeriksaan berkomputer untuk menguji kecekapan dan keberkesanan komponen sesebuah kenderaan seperti cengkaman brek dan tahap pelepasan asap. Laporan VVI dengan bacaan yang mengikut piawaian antarabangsa akan diberikan kepada pemilik kenderaan sebagai rujukan supaya mereka dapat mengetahui kondisi sebenar kenderaan yang dipandu atau kerosakan yang mungkin terdapat pada komponen kenderaan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ," jelas Shukor.
"Kenderaan yang selamat pasti memberi ketenangan kepada kita sebagai pemandu. Oleh itu, orang ramai terutamanya pemilik dan pemandu kenderaan persendirian yang ingin pulang ke kampung pada Hari Raya ini, rebutlah peluang mendapatkan pemeriksaan percuma ini dari PUSPAKOM untuk memastikan kenderaan anda selamat dipandu dan memberi anda lebih keyakinan ketika dalam pemanduan," tambah Shukor lagi.
Bagi mereka yang ingin hadir untuk mendapatkan pemeriksaan kenderaan percuma ini perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti memakai pelindung muka, mengimbas MySejahtera dan mengamalkan penjarakan sosial.