Kementerian Pendidikan mahu menekankan lebih penghayatan terhadap silang budaya dan kaum di peringkat sekolah dan universiti agar semangat perpaduan antara pelbagai bangsa dapat terus dipupuk.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata dengan penghayatan melalui pelbagai aktiviti termasuk kurikulum itu masyarakat diyakini akan dapat lebih memahami makna kehidupan bersama.

"Pada saya yang lebih penting ialah penghayatan. Jadi penghayatan melalui aktiviti kurikulum, aktiviti bersama, itu akan lebih mendekatkan kita.

Kita tidak mahu dari segi teori saja tapi kita mahu dari segi praktikal supaya kita lebih memahami dalam erti kata kehidupan bersama itu sendiri," katanya selepas merasmikan majlis penyerahan plak Program Bantuan Rumah Harapan di Kampung Parit Haji Hashim di sini, pada Ahad.


Beliau yang juga Anggota Parlimen Simpang Renggam berkata demikian sebagai mengulas cadangan Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk mewujudkan subjek mempelajari agama lain di institusi pendidikan negara.

Menurutnya, di sekolah, sudah terdapat beberapa subjek yang sememangnya membolehkan pelajar mempelajari tentang agama, kepelbagaian budaya dan sebagainya.

Jumaat lepas, Presiden MBM, Jufiri Joha dilaporkan berkata subjek pendidikan agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini adalah baik, namun ia hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memahami agama lain.

Justeru, melalui cadangan yang dikemukakan pihaknya yakin perpaduan akan dapat dipupuk memandangkan semua pihak dapat memahami sensitiviti penganut agama lain.

-- BERNAMA