Kementerian Pendidikan sedang meneliti secara terperinci punca penurunan prestasi subjek Sejarah, Matematik dan Pendidikan Moral dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata laporan lengkap mengenai kajian berkenaan akan dikeluarkan Lembaga Peperiksaan Malaysia dalam masa terdekat.

"Banyak langkah diambil sebenarnya untuk tingkatkan prestasi mata pelajaran seperti Matematik antaranya mencakupi aspek kurikulum, pentaksiran, pembelajaran dan memperkukuhkan program transformasi pendidikan di peringkat daerah," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang mahu tahu langkah pragmatik kementerian dalam meningkatkan prestasi pelajar dalam mata pelajaran Matematik.

Mahdzir berkata pihaknya juga akan memastikan penekanan yang lebih terhadap subjek Sejarah memandangkan ia merupakan mata pelajaran wajib lulus dalam SPM.

-- BERNAMA