JOHOR BAHRU: Karnival Jom Masuk TVET Zon Selatan yang diadakan tiga hari bermula semalam sehingga Ahad diharap memberi impak positif penyertaan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Zuleah Darsong berkata, penganjuran karnival itu juga mampu menyebar luaskan lagi maklumat berkaitan program TVET di 1,400 pusat tauliah awam dan swasta kepada masyarakat.

Katanya, ketika ini penerimaan memasuki TVET masih pada tahap sederhana kerana ramai tidak mengetahui adanya latihan kemahiran yang disediakan oleh pusat tauliah awam dan swasta.

"Jadi hari ini, dengan adanya Karnival Jom Masuk TVET, kita harapkan warga Johor untuk mengetahui latihan TVET yang ditawarkan pihak kerajaan dan swasta. Kita juga ada promosikan satu portal UP TVET, ia sama seperti UPU untuk masuk ke universiti, tetapi platform khusus untuk mereka yang ingin memasuki TVET.

"Buat masa ini, UP TVET hanya untuk pusat latihan awam sahaja yang dibuka kepada orang ramai dan pada tahun 2025, kita akan buka platform ini di mana pihak swasta yang menawarkan latihan juga ada di dalam platform berkenaan. Jadi kita buat secara berperingkat.

"Kemasukan pada Januari tahun depan, sebanyak 20,000 tempat TVET kita sediakan di institusi latihan kemasukan awam untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mereka yang berminat tanpa mengira kemahiran," katanya ketika ditemui di Karnival Jom Masuk TVET di sini, pada Jumaat.


Zuleah melawat Karnival Jom Masuk TVET di Angsana Johor Bahru Mall.

Menurut Zuleah, setakat ini sebanyak 2.3 juta Sijil Kemahiran telah dikeluarkan JPK.

Katanya, ia merangkumi Sijil Kemahiran Tahap 1, 2 dan 3 serta Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia.

"Mereka masih dalam bidang automotif, bidang soft skill seperti teknologi maklumat (IT) selain bakery serta confectionery.

"Kita galakkan pusat latihan memberikan latihan peringkat tinggi yang diperlukan industri terutama dalam bidang industri IR4.0. Kita ada juga latihan pusat bertauliah dengan industri seperti Adtac Melaka dan Proton selain mengharapkan dapat diperbanyakkan kerjasama seumpama ini," katanya.