Kementerian Kesihatan memandang serius insiden pendarahan yang dialami seorang bayi di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai menegaskan siasatan akan dijalankan bagi meneliti punca kejadian berkenaan.

Menurut Tiong Lai, Kementerian antaranya akan memastikan sama ada kakitangan hospital berkenaan mematuhi prosedur operasi standard.

Pada masa yang sama, Kementerian akan menyiasat dakwaan sikap biadap kakitangan hospital itu dalam menangani insiden berkenaan.

Kisah mengenai bayi yang berusia 19 hari itu disedari ramai apabila cerita mengenainya tersebar luas melalui laman Facebook.

Pemilik akaun laman sosial itu antara lain mendakwa jururawat terbabit menafikan berlaku kecuaian dan bersikap biadap apabila diajukan pertanyaan.