KUALA LUMPUR: Program Kembara Memorial: Anak Malaysia Merdeka disasarkan bukan sahaja untuk menyemarakkan semangat patriotisme bersempena dengan bulan kemerdekaan, tetapi juga bagi mempromosi Arkib Memorial sebagai destinasi pelancongan pendidikan (edutourism) kepada masyarakat.


Ringkasan AI
  • Program Kembara Memorial: Anak Malaysia Merdeka bertujuan memupuk semangat patriotisme dan mempromosikan Arkib Memorial sebagai destinasi pelancongan pendidikan.
  • Arkib Memorial membantu mendidik anak muda mengenai sejarah negara dan meningkatkan semangat patriotik melalui lawatan ke 11 memorial, galeria, dan pustaka yang diuruskan oleh Arkib Negara Malaysia.
  • Program konvoi selama dua hari ini melibatkan 20 peserta yang melawat pelbagai lokasi bersejarah di Melaka, termasuk Kampung Portugis dan Kampung Perigi Hang Tuah, dengan pelbagai acara yang disusun bersama penduduk setempat.


Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud berkata, semangat cintakan negara perlu bermula dengan pengetahuan tentang sejarah negara, dan Arkib Memorial merupakan salah satu lokasi bagi mendidik anak-anak muda menjadi warganegara yang tinggi semangat patriotik.

"Peserta akan mempelajari apa yang ada di memorial, pustaka dan galeria di bawah Arkib Negara, ada 11 kesemuanya.

"Kita kena kenal negarawan dan sejarah ketamadunan negara kita sebagai asas kepada rasa kasih sayang kepada negara. Di situ jugalah letaknya asas perpaduan," katanya.

Arkib Negara Malaysia mengendalikan 11 buah memorial, galeria dan pustaka, dengan enam daripadanya di Kuala Lumpur iaitu Memorial Tunku Abdul Rahman, Memorial Tun Hussien Onn, Memorial Negarawan, Memorial Tun Abdul Razak, Galeria Sri Perdana, dan Pustaka Peringatan P. Ramlee.

Di utara pula terdapat Rumah Merdeka dan Rumah Kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad di Kedah serta Rumah Kelahiran P. Ramlee di Pulau Pinang.

Dua lagi terletak di Melaka iaitu Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dan Memorial Tun Abdul Ghaffar Baba.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelepasan Kembara Memorial: Anak Malaysia Merdeka di Perkarangan Memorial Tun Hussein Onn, pada Sabtu.

Seramai 20 peserta menyertai konvoi dari Kuala Lumpur menuju ke Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dan Memorial Tun Abdul Ghaffar Baba, Melaka.

Program selama dua hari itu akan menyaksikan peserta turun ke beberapa lokasi di Melaka antaranya Kampung Portugis dan Kampung Perigi Hang Tuah, untuk menyertai pelbagai acara yang telah disusun bersama penduduk setempat.