KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan sebuah 'taskforce' (pasukan bertindak) bebas bagi menyiasat kes kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP) bulan lalu.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata pasukan petugas khas itu juga akan berfungsi menyiasat budaya buli yang didakwa berlaku.

"Saya telah menerima laporan awal mengenai kematian seorang doktor pelatih dari Ketua Jabatan mendiang di Pulau Pinang.

"Pihak polis juga sedang lengkapkan siasatan," katanya dalam kemas kini di laman Twitter, hari ini.


BACA: Polis akan rekod keterangan ahli keluarga doktor pelatih di HPP maut

BACA: Doktor junior menderita dengan waktu kerja tidak berperikemanusiaan - Norlela Ariffin

Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai perubatan siswazah yang baharu ditempatkan di HPP dilaporkan terjatuh dari tingkat 23 sebuah apartment di Jalan Datuk Keramat, George Town pada 17 April lalu.

Mangsa baru ditempatkan di HPP pada 4 April lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, yang mengesahkan kematian doktor pelatih itu, tidak menolak kemungkinan kes diklasifikasikan semula sekiranya ada bukti terkini.