Jenazah rakyat Malaysia, Azalan Miswan yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres di Turki pada Khamis dijangka akan tiba di Kuala Lumpur esok.

Pengurus Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Mahfizul Rusydin Abd. Rashid) dalam kenyataan pada Jumaat memberitahu, jenazah telah dibawa ke Kedutaan Malaysia di Ankara pada jam 2 pagi (waktu tempatan) untuk urusan mandi, kafan dan solat.
Kenyataan media PKNS berhubung insiden kemalangan bas di Turki yang mengorbankan seorang kakitangan mereka.

“Jenazah kemudiannya akan diterbangkan ke Istanbul untuk urusan dibawa pulang jenazah ke tanah air ditemani anak dan isterinya.

“Pesawat yang membawa mereka dijangka akan berlepas dari Istanbul esok jam 1.30 pagi (waktu tempatan) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari yang sama jam 6.30 petang waktu Malaysia,” katanya.

BACA: Warga Malaysia maut dalam kemalangan bas di Turki

BACA: PKNS sahkan kakitangan maut nahas bas Turki


Sebaik tiba di KLIA, jenazah kemudiannya akan dibawa ke Surau An-Nur, Seksyen 20 Shah Alam untuk disolatkan dan akan dikebumikan selepas waktu Isyak di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam.

BACA: Kemalangan di Turki: Waris keluarga digesa terus berhubung dengan pihak berkuasa


Terdahulu, Wisma Putra mengesahkan insiden kemalangan membabitkan bas tersebut yang membawa 35 staf PKNS ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia.

Bas tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbalik akibat keadaan jalan yang licin.

Selain mangsa yang meninggal dunia, 10 lagi penumpang turut mengalami kecederaan.