Sumber dari Pejabat Ketua Menteri Sarawak hari ini mengesahkan menerima panggilan dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tentang pembebasan empat rakyat Malaysia yang diculik di perairan Sabah, April lalu.

Menurut laporan Borneo Post Online, polis memberitahu sumber bahawa keempat-empat individu berkenaan telah pun dibebaskan.

Bagaimanapun, laporan turut memberitahu, salah seorang anggota keluarga mangsa culik sehingga kini masih belum mendapat sebarang maklumat mahupun pengesahan tentang pembebasan tersebut.

Susulan itu, keluarga mangsa meminta pihak media supaya tidak menyebarkan berita yang tidak sahih, kerana dikhuatiri akan menjejaskan usaha polis untuk membantu membebaskan individu-individu itu.

BACA: Lanun bersenjata culik empat rakyat Malaysia di perairan Semporna, Sabah

BACA: Polis Sabah sahkan empat rakyat Malaysia diculik di perairan Ligitan Sabah

Keempat-empat lelaki berumur 21 hingga 34 tahun itu bertugas di sebuah kapal didaftarkan atas nama 'Masfive 6' dan ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke Malaysia setelah selesai membawa kayu balak ke Manila, Filipina.

Mereka ialah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21.

Sementara itu, ahli Parlimen Lanau yang merupakan sepupu kepada Johnny Lau memaklumkan, keluarga mangsa di Sabah telah menghubungi polis, dan polis memberitahu mereka masih sedang menangani kes penculikan tersebut.

Akhbar The Star Online pada Rabu melaporkan, empat rakyat Malaysia yang diculik oleh lapan lelaki bersenjata di perairan Semporna, Sabah berhampiran Pulau Ligitan pada 1 April, telah dibebaskan.

Menurut laporan tersebut, keempat-empat kelasi dari Sarawak itu dibebaskan oleh kumpulan Abu Sayyaf dan telah kembali ke Sandakan, Sabah, awal hari ini.

Memetik laporan dari Jolo, dipercayai bahawa perunding Malaysia dan Filipina berjaya mendapatkan pembebasan empat individu tersebut selepas beberapa siri rundingan.