KUALA LUMPUR: Kelonggaran bagi semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu yang tidak melibatkan sentuhan fizikal hanya diberikan kepada kawasan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), jelas Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Justeru, menurut KBS, hebahan infografik yang mendakwa semua aktiviti sukan individu dibenarkan seperti yang tular di media sosial adalah tidak benar.

Setakat ini, hanya Perlis, Sarawak dan Labuan telah memasuki Fasa Tiga PPN.

"KBS memandang serius tentang penularan infografik palsu dan mengelirukan orang awam ini.

"Sila rujuk infografik tepat yang hanya dikeluarkan KBS atau layari http://www.kbs.gov.my/sopsukanrekreasi selain terus ke laman rasmi Majlis Keselamatan Negara www.mkn.gov.my," menurut kenyataan dikeluarkan di Facebook KBS hari ini.

Terdahulu, tular hebahan infografik di media sosial yang mengelirukan orang ramai berhubung prosedur operasi standard (SOP) am sektor sukan dan rekreasi yang hanya dibenarkan bagi Fasa Tiga PPN.

Ia membabitkan aktiviti sukan dan rekreasi seperti jogging, senaman, badmiton, tenis, golf, permotoran, mendaki, renang, ski jet, taichi, berbasikal, skateboarding (papan selaju), ekuestrian, tenpin boling, memanah dan gimnasium dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam.

-- BERNAMA