KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menambah peruntukan bagi Program Kelantanku Bersih kepada RM16.5 juta pada 2023 berbanding RM10.79 juta pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata peruntukan tersebut adalah bagi merancang dan menggiatkan lagi progam berkenaan menerusi penglibatan orang ramai terutamanya dalam aktiviti gotong-royong di kawasan tumpuan ramai dan pelancong.

Beliau berkata Dasar Kelantanku Bersih 2022-2027 juga telah diluluskan sebagai inisiatif menjadikan Kelantan sebuah negeri yang bersih dan mewujudkan masyarakat yang membudayakan amalan kebersihan bagi menjamin kesejahteraan hidup dan kelestarian alam sekitar.

"Objektif utama Dasar Kelantanku Bersih adalah bagi meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan amalan kebersihan dalam kalangan masyarakat ke arah budaya bersih dan sihat selaras dengan Dasar Membangun Bersama Islam," katanya dalam ucapan Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih 2022, di sini hari ini.

Pada majlis sama, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob turut melancarkan Dasar Kelantanku Bersih yang bertemakan "Jupo Sapoh Kutip, Jange Tohok Koksey" manakala, visi dasar ini ialah "Kelantanku Bersih, Indah dan Ceria".

Mengulas lanjut Dr Izani berkata Dasar Kelantanku Bersih diharap dapat dijadikan sebagai garis panduan kepada semua pihak terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dalam merealisasikan matlamat Kelantan sebagai negeri bersih, indah dan ceria.

-- BERNAMA