PASIR PUTEH: Kerajaan Kelantan telah meluluskan cadangan Jabatan Perhutanan negeri untuk membangunkan Program Terapi Hutan di negeri itu tidak lama lagi.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata Program Terapi Hutan adalah konsep yang telah dibangunkan melalui penyelidikan untuk mengekalkan kesihatan fizikal dan mental manusia dengan melakukan aktiviti kesihatan dalam hutan.

"Bagi mencapai tujuan itu, kerajaan negeri komited untuk menjalankan pemeliharaan dan pemuliharaan dalam usaha mengekalkan lebih 629,880 hektar kawasan hutan simpan kekal di negeri ini.

"Semoga Program Terapi Perhutanan yang dibangunkan kelak dapat menyokong pembangunan kerohanian dan jasmani," katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kelantan di Taman Eko Rimba Jeram Linang di sini pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Sementara itu, Mohd Amar ketika ditemui pemberita berkata kerajaan negeri bercadang mengembangkan projek tanaman pokok Eucalyptus jika projek percubaan itu yang diusahakan sejak tiga tahun lepas sesuai di negeri itu.

"Benih pokok berkenaan yang diperoleh dari China dan mula ditanam di kawasan Ulu Kelantan kini masih hidup subur.

"Jika didapati sesuai, pokok berkenaan hanya memerlukan masa yang singkat untuk dituai manakala pendapatannya pula sangat lumayan sehingga RM20,000 ke RM30,000 bagi setiap 0.44 hektar," katanya.

-- BERNAMA