Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang berusaha untuk menggalakkan lebih ramai bukan berbangsa Melayu menyertai pasukan berkenaan bagi memperkukuhkan keupayaannya.

Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Roslan Saad berkata ketika ini penyertaan kaum bukan Melayu di dalam pasukan berkenaan pada setiap sesi pengambilan hanya berada di tahap 10 peratus dan ianya membimbangkan.

"Kita dapati setiap tahun walaupun telah dibuat banyak program pemasaran dan sebagainya, penyertaan bukan Melayu masih rendah.

"Bukannya TUDM tidak mahu, sebaliknya kita amat menggalakkan kerana kita memberi peluang kepada mereka untuk berjaya dalam bidang aero angkasa yang mana lebih menitik beratkan teknologi," katanya pada sesi sidang media selepas menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TUDM Siri 55/2016 di Insititut Latihan Tentera Udara (ITU) di sini pada Ahad.

Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TUDM sesi 55/2016 di Institut Latihan Tentera Udara. - Astro AWANI
Justeru itu beliau menggesa pengamal media memainkan peranan mempromosi TUDM bagi memastikan ianya turut disertai oleh kaum bukan Melayu.

Sementara itu bagi perancangan tahun 2017, Roslan memberitahu meskipun mengalami kekangan kewangan, namun TUDM tetap akan berusaha mengekalkan keupayan serta tugas-tugas utama yang telah dipertanggungjawabkan.

"2017 akan menjadi tahun yang mencabar kepada TUDM dengan keadaan kekangan wang dan sebagainya tapi misi kita tidak akan berubah.

"Latihan, Kemahiran, kepakaran yang melibatkan kompentensi dan teknologi tidak akan dikurangkan, hanya dari segi lain di mana kita boleh jimat akan kita jimat, banyak cara dan kaedah yang kita boleh gunakan," ujar beliau,

Dalam majlis tersebut seramai 377 orang Perajurit Muda TUDM telah menamatkan latihan kententeraan yang bermula 1 Julai hingga 30 Disember 2016.