ALOR SETAR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa isu membabitkan kekurangan bekalan ubat yang berlaku ketika ini terutama di fasiliti-fasiliti kesihatan swasta tidak disebabkan oleh pembelian panik dalam kalangan orang ramai.

Menurutnya, situasi yang berlaku adalah disebabkan penggunaan atau permintaan ubatan tertentu khususnya dalam tempoh penularan varian Omicron awal tahun ini diikuti gelombang Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) ketika ini.

Beliau turut memberi jaminan bahawa bekalan ubat diseluruh negara mencukupi memandangkan isu kekurangan bekalan ubatan hanya berlaku di beberapa lokasi dan melibatkan ubatan tertentu sahaja.

"Fenomena ini kita tak boleh kata berlaku di seluruh negara, ia hanya di beberapa tempat sahaja dan melibatkan beberapa ubat-ubatan sahaja, saya nak bagi jaminan bahawa keadaan bekalan ubat-ubatan di Malaysia masih cukup, cuma (sekarang), kita nak kena tahu secara spesifik di mana dan ubat apa yang agak kurang stok dia," katanya.

Khairy berkata demikian ketika sidang media selepas hadir pada majlis penyerahan sumbangan perubatan daripada Kerajaan Jepun di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa telah mendapatkan maklum balas daripada beberapa pihak termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berhubung isu ini.

Tambahnya, KKM juga akan bekerjasama dengan beberapa pihak dalam menangani isu ini termasuk mengkaji keperluan mendapatkan bekalan ubat alternatif.

"Saya sudah minta untuk kita semak dengan pengeluar-pengeluar ubat-ubatan dan juga pengimport ubat-ubatan, (terutama) yang mana yang tidak cukup, saya juga telah minta maklum balas daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan daripada klinik-klinik swasta di mana (lokasinya) dan ubat apa yang tak cukup

"Kita juga akan bekerjasama dengan pengeluar-pengeluar (atau) syarikat-syarikat farmasi sama ada untuk bagi (penyelesaian secara) alternatif, ubat alternatif ubat ni dia ada banyak jenama, dia ada banyak alternatif ataupun kalau sekiranya perlu kita import ubat daripada negara yang lain," katanya lagi.

Terdahulu, terdapat laporan yang menyatakan bahawa isu kekurangan bekalan ubatan berlaku di fasiliti kesihatan swasta termasuk farmasi.

Menurutnya, antara maklum balas yang diterima KKM dalam sesi libat urus dengan pihak industri farmaseutikal pada 2 Jun lepas bagi mendapatkan gambaran mengenai bekalan ubat-ubatan yang dihasilkan di Malaysia atau diimport, adalah berlaku kekurangan bekalan ubat-ubatan untuk merawat cirit-birit, demam, selesema, batuk, antibiotik dan vitamin C.

KKM mahu maklum balas pihak berkenaan isu kekurangan ubat