KAMPAR: Kegembiraan berganda buat Chong Kaiqi yang memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumum pada Khamis apabila menerima sebuah motosikal daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Kaiqi, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar dihadiahkan motosikal jenama Modenas Kriss 110 berharga lebih RM4,000.

Pemberian itu adalah komitmen PIBG bersama pihak sekolah bagi menghargai pelajar SPM yang mencapai prestasi paling cemerlang di peringkat sekolah.

Bercakap kepada Sinar Harian, Kaiqi yang tinggal di Malim Nawar Tin mengakui terkejut dengan sumbangan berkenaan.

Apatah lagi katanya, hadiah seumpama itu pertama kali diberikan kepada pelajar-pelajar lepasan SPM.

"Saya hilang kata-kata bila dipanggil untuk terima hadiah motosikal ini. Perasaan gembira dapat capai 9A pun belum hilang, sekarang dapat hadiah motosikal.

"Saya cuma hanya ada lesen kereta, nampaknya selepas ini saya kena cepat-cepat ambil lesen motosikal pula," katanya.

Menurutnya, sejak awal berada di Tingkatan 5 lagi, dia meletakkan harapan tinggi mendapat keputusan cemerlang 9A agar dapat membanggakan sekolah serta datuk dan neneknya.

"Ibu dan bapa duduk di Singapura kerana bekerja. Saya di sini tinggal dengan datuk dan nenek sahaja.

"Merekalah yang hantar saya setiap hari ke sekolah dan menjaga semua keperluan sekolah saya.

"Keputusan 9A dan motosikal ini saya hadiahkan kepada datuk dan nenek yang selama ini banyak berkorban untuk saya," katanya.



Guru-guru SMK Malim Nawar meraikan kejayaan Kaiqi yang memperoleh 9A dalam SPM pada Khamis. - Foto Sinar Harian

Penyampaian motosikal disempurnakan Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi dalam satu majlis di Dewan SMK Malim Nawar pada Khamis.

Turut serta, Pengetua SMK Malim Nawar, Mior Anuar Ghazali, Pengerusi PIBG, Hanif Abdul Rahman dan alumni sekolah, Datuk Amirudin Hami dari Arif Global Letrik Sdn Bhd selaku penyumbang utama.

Kaiqi yang kini menyambung pengajian di Singapura dalam bidang akaun berharap, sumbangan motosikal itu akan menjadi inspirasi kepada calon SPM akan datang untuk berusaha lebih baik.

"Mana tahu tahun depan ada hadiah lebih besar daripada ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Azlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah berkata, pembangunan sekolah terutama dari aspek digital dan komunikasi akan diberikan fokus utama bagi membolehkan akses pembelajaran tanpa sempadan.

"Untuk sekolah ini, saya akan sumbangkan televisyen pintar untuk kegunaan pelajar Tingkatan 5 sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran mereka," katanya. -- Sinar Harian