Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat ASEAN perlu merasakan bahawa mereka tergolong dalam perkumpulan itu.
"Mereka mesti merasakan bahawa mereka bukan hanya sebahagian daripada ASEAN, tetapi mereka ialah ASEAN, dan masa depannya adalah masa depan mereka,"kata beliau ketika berucap pada majlis Makan Malam Gala bagi meraikan Ketua-ketua Kerajaan/Negara ASEAN di sini, malam ini.
Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menjadi tuan rumah majlis itu bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 yang dipengerusikan Malaysia.
Sidang kemuncak dua hari itu, yang bermula hari ini di ibu negara dan Langkawi, bertemakan "Warga Kita, Komuniti Kita, Visi Kita'.
Turut menghadiri majlis itu ialah Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong, Presiden Myanmar U Thein Sein, Presiden Filipina Benigno S.Aquino III, Perdana Menteri Singapura Lee Hsein Loong, Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha dan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung serta Setiausaha Agung ASEAN Le Luong Minh.
Sidang kemuncak dua hari itu, yang bermula hari ini di ibu negara dan Langkawi, bertemakan "Warga Kita, Komuniti Kita, Visi Kita'. - Foto Bernama
Najib berkata banyak usaha yang telah dilaksanakan kerajaan bagi merealisasikan integrasi menerusi pelbagai perjanjian, pernyataan, kenyataan dan deklarasi.
Ini, kata beliau, telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dan mewujudkan infrastruktur bagi integrasi serantau.
"Bagaimanapun, instrumen yang telah kita terima pakai hanya memberi kesan yang terhad jika rakyat tidak memanfaatkannya secara langsung dan merasakan bahawa mereka telah mendapat manfaat daripadanya," kata beliau.
Oleh itu, perdana menteri berkata sidang kemuncak esok turut mengadakan sesi bersemuka bagi membolehkan pemimpin-pemimpin ASEAN bertemu dengan empat kumpulan berbeza iaitu belia, pertubuhan masyarakat sivil, kumpulan perniagaan dan anggota Parlimen.
Najib menegaskan di bawah penerajuan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, lebih banyak program berpaksikan rakyat diatur sepanjang tahun ini termasuk Sidang Kemuncak Pemimpin Muda ASEAN, Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN, Sidang Kemuncak Keusahawanan 1ASEAN serta Pameran dan Persidangan PKS ASEAN.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada semua negara anggota ASEAN yang memberi kerjasama dalam membantu Malaysia menganjurkan acara-acara itu, perdana menteri berkata 'Go ASEAN' iaitu saluran pelancongan baharu untuk mempamerkan semua yang terbaik di ASEAN, juga akan dilancarkan.
"Di peringkat praktikal, Malaysia memulakan program-program yang akan memberi manfaat secara langsung kepada para pemimpin generasi akan datang.
"Kami mewujudkan program Biasiswa Sarjana MTCP-ASEAN 2015, yang akan membolehkan penuntut dari negara-negara ASEAN untuk belajar di universiti-universiti awam Malaysia dan memberi sumbangan besar selepas kembali ke negara masing-masing," kata beliau.
Dalam perkembangan lain, Najib menegaskan kepentingan ASEAN yang semakin meningkat dan dinamisme populasi orang mudanya yang kian ramai berpendidikan tinggi, telah mencetus minat yang semakin meluas bukan sahaja di rantau ini malah di dunia.
"ASEAN sedang memperbanyakkan penglibatannya dengan negara-negara jiran dan negara-negara lain. Kuasa kita diberi pengiktirafan dan lebih banyak negara - negara maju dan negara yang semakin menempa nama di persada antarabangsa - mahu menjalinkan hubungan dengan kita.
"ASEAN yang lebih bersepadu menyediakan peluang-peluang baharu buat kita dan yang lain - dan seluruh dunia menyedari perkara ini," kata beliau.
Najib berkata dengan pelaksanaan integrasi itu bertujuan memanfaatkan semua pihak, adanya keperluan untuk mengekalkan dan mengukuhkan pendekatan berasaskan peraturan terhadap hubungan antara negara di rantau ini.
"Usaha ini perlu menjadi imperatif strategik yang berterusan berikutan realiti geopolitik di rantau ini dan kawasan yang lebih meluas," kata beliau, sambil mempelawa para hadirin untuk menikmati hidangan lazat yang disediakan pada majlis itu.
Majlis makan malam itu turut diserikan dengan persembahan muzikal, nyanyian dan tarian termasuk pementasan 'Mak Yong' Malaysia, yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai antara warisan dunia.
Majlis makan malam gala itu juga menampilkan 50 pemain genderang muda dari negara-negara ASEAN.