KUALA LUMPUR: Modus operandi yang digunakan dalam serangan terhadap tiga pemain bola sepak kebangsaan iaitu Faisal Halim, Akhyar Rashid dan Safiq Rahim adalah serupa.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

"Siasatan polis mengenal pasti modus operandi yang digunakan, melibatkan dua orang, mangsa diikuti sebelum serangan dilakukan.

"Sehubungan itu, saya ingin ingatkan pemain kebangsaan dan liga, jika anda melihat sesuatu yang tidak biasa daripada kebiasaan, ambil langkah berjaga-jaga," kata beliau.

Perancang JDT, Safiq Rahim menjadi mangsa terbaharu serangan keganasan bola sepak apabila cermin kenderaannya dipecahkan dalam kejadian malam tadi.

Pada Ahad, negara digemparkan dengan serangan terhadap pemain sayap lincah negara dan Selangor FC, Faisal Halim yang mengalami melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali.

Sebelum itu, pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid mengalami kecederaan dan kerugian hampir RM5,000 selepas disamun dalam kejadian di Kuala Terengganu.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, siasatan polis juga mendapati trend serangan berlaku setiap selang dua hari.

"Serangan kedua berlaku selang dua hari selepas serangan pertama. Begitu juga dengan serangan ketiga yang berlaku selang dua hari selepas serangan kedua.

"Itu 'pattern' yang kita dapat lihat dan kami berharap ia adalah yang terakhir. Polis akan buat segalanya utuk buru pihak yang menyerang ketiga-tiga pemain kebangsaan ini," tegas beliau.