KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD 2025 akan bertambah baik berbanding 2024, dipacu oleh antaranya peningkatan eksport produk berteknologi tinggi.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata penurunan eksport berteknologi tinggi negara, yang mempengaruhi kedudukan Malaysia dalam senarai itu merupakan situasi jangka pendek dan skor tersebut dijangka meningkat bagi ranking 2025.

"Kesemua (pelaburan) ini akan mula memberi kesan dalam (tempoh) 12 hingga 18 bulan akan datang dan akan menaikkan semula kedudukan kita," katanya dalam hantaran di laman sosial.

Tengku Zafrul berkata penurunan yang dialami bagi ranking 2024 berikutan penurunan eksport elektronik komunikasi adalah disebabkan penurunan permintaan global dan peningkatan persaingan global.

Contohnya, eksport berteknologi tinggi China dalam 10 bulan bagi 2023 susut 11.4 peratus tahun ke tahun kepada AS$728.2 bilion berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala Korea Selatan susut 28 peratus kepada AS$110 bilion, dan Jepun merosot 10 peratus kepada AS$76.9 bilion.



Dalam pada itu, beliau berkata unjuran peningkatan jualan semikonduktor global tahunan sebanyak 16 peratus pada 2024 dan 12.5 peratus pada 2025 akan memberi manfaat kepada Malaysia sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia.

"Apabila permintaan untuk semikonduktor naik, maka secara automatik eksport berteknologi tinggi negara juga akan naik," jelas beliau.

Tengku Zafrul menambah pertumbuhan ekonomi yang stabil, kadar pengangguran yang terus berkurangan, serta inflasi yang terkawal akan meningkatkan kedudukan Malaysia pada masa akan datang.

-- BERNAMA