Hampir empat tahun selepas tertubuhnya syarikat penerbitan FIXI, penerbit dan juga penulis Amir Muhammad kini berbangga apabila kedai buku FIXI pertama selamat dirasmikan.

Terletak di aras empat pusat beli-belah Jaya di sini, premis bergaya hipster itu menawarkan kesemua judul buku terbitan FIXI dan beberapa penerbit alternatif lain untuk dimiliki para pembaca generasi baharu.

Buku FIXI mula dikenali kerana menghimpunkan bakat dalam kalangan penulis muda tempatan dengan karya penulisan bertema segar dan bervariasi.

Kini, kedai buku FIXI menjadi akses terbaik buat kelompok pembaca mengikuti naskhah terbitan terkini, malah ia turut menjadi medan untuk mendapatkan judul-judul lama yang belum lagi dimiliki.

buku
Amir membuka ruang karya yang mengangkat bakat penulis-penulis muda tempatan. - Foto Astro AWANI
“Mula-mula FIXI sekadar penerbit buku. Kami sebenarnya tidak terfikir hendak buka kedai buku sendiri, tapi selepas dua atau tiga tahun, kita nampak respons semakin menggalakkan dan ramai yang mencari buku-buku lama kami yang sukar dijumpai di kedai-kedai biasa,” ujar Amir.

Menurutnya, ‘Kelabu’, ‘Asrama’, ‘Kacau’, ‘KL Noir Red’ dan ‘Horror Stories’ adalah antara judul buku paling digemari ramai selain laris jualannya.

Dalam pada itu, naskhah terbitan FIXI tidak terbatas kepada penghasilan novel fiksyen, malah terdapat juga koleksi cerpen, pantun dan puisi terpilih dan juga himpunan tulisan.

“Sebenarnya apa yang mengejutkan saya adalah sambutan yang bukan saja daripada pembaca malah daripada penulis kerana setiap bulan kami menerima 20 hingga 30 manuskrip.

“Kebanyakannya oleh penulis baharu yang tidak pernah terfikir untuk menulis novel sehinggalah mereka membaca novel-novel FIXI atau dari syarikat yang seangkatan dengan kami,” ujarnya.

Tambah Amir, bagi kelompok tersebut, buku-buku begitu benar-benar ‘bersuara’ kepada mereka hinggakan mereka merasakan bahawa mereka juga ada cerita untuk dikongsi.

Spektrum cerita yang dipersembahkan dalam buku-buku terbitan FIXI seperti genre seram, isu semasa, drama kembara, pencarian diri dan sosiobudaya telah berjaya menarik perhatian khalayak pembaca semasa yang selama ini banyak disogok novel berbahasa Melayu bertema romantis atau cinta semata-mata.

buku
Para peminat penulisan bahasa Melayu dengan gaya penulisan dan tema variasi menggemari judul-judul yang diketengahkan oleh pihak FIXI. - Foto Astro AWANI

TIADA SUNTINGAN KERAS

Sementara itu, bagi penulis muda Ridhwan Saidi , 30, dia gembira apabila diberikan kebebasan berkarya oleh FIXI dan menyifatkan rumah penerbitan itu memahami citarasa pembaca masa kini.

“FIXI tidak mengenakan suntingan keras kepada hasil penulisan seseorang malah membenarkan gaya bahasa yang santai dan bersahaja kerana itulah faktor yang membuatkan pembaca rasa ‘dekat’ dengan penulisan tersebut,” ujarnya yang telah menghasilkan sebanyak lima buah novel.

Karya kelima Ridhwan berjudul Brazil yang baru dilancarkan menceritakan tentang pengalamannya mengembara ke negara tersebut atas tajaan pihak FIXI. Ridhwan kini terlibat dalam kerja-kerja terjemahan naskhah terbitan syarikat tersebut.

buku
Ridhwan berkongsi kisahnya mengembara di Brazil melalui buah tangan terbaharunya. - Foto Astro AWANI

KARAKTER TERSENDIRI

Bagi penulis Muhamad Syamim Jamil, 23, keterbukaan FIXI untuk menerima idea segar dan baharu membuatkan syarikat penerbitan itu dipandang unik olehnya. FIXI dilihat mempunyai karakter tersendiri melalui buku-buku yang diterbitkan sebelum ini.

“Harapan saya untuk FIXI adalah agar ia terus maju dalam perjuangan. Selepas bertahun-tahun dalam industri, telah banyak risiko yang ditempuhi untuk mengangkat karya kontemporari.

“Kejayaan mereka dalam membina reputasi boleh dilihat apabila mereka dinobat sebagai penerbit terbaik di London Book Fair tahun lalu,” ujarnya yang dikenali dengan nama pena Mim Jamil.

Mim menemui kelompok pembaca melalui novelnya berjudul Lari yang berkisar tentang seorang remaja yang memendam rasa ingin memberontak lantaran dia terpaksa berdepan dengan persepsi serta kritikan masyarakat terhadapnya.
buku
Mim Jamil menceritakan tentang perjalanan hidup seorang remaja yang memberontak di tengah-tengah penilaian masyarakat melalui bukunya, 'Lari'. - Foto Astro AWANI



Liputan tentang pelancaran kedai buku FIXI telah disiarkan dalam segmen Wira AWANI di Buletin AWANI.