Syarikat penerbitan buku indie Buku Fixi akan menganjurkan Anugerah Poster Filem Terbaik buat pertama kalinya bermula tahun ini.

Perkara ini turut dikongsi pengasas Buku Fixi, Amir Muhammad, di Twitter.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, penganjuran anugerah ini tiada kaitan dengan mana-mana festival filem

“Anugerah Poster Filem Terbaik ialah acara suka-suka yang diadakan di Malaysia mulai tahun 2016.

“Anugerah Poster Filem Terbaik ini bertujuan untuk meraikan hidup, dan juga meraikan bakat warga Malaysia yang terlibat dalam bidang rekaan dan promosi, yang memainkan peranan penting dalam apa jua kerja seni,” kata kenyataan itu.



Anugerah terbuka kepada kesemua filem Malaysia yang ditayang di pawagam Malaysia dari 1 Januari 2015 ke 30 Jun 2016.

Menurut statistik Unit Wajib Tayang Finas, ini merangkumi 104 filem (80 pada 2015 dan 24 pada separuh pertama 2016).

Tiga panel hakim untuk anugerah edisi pertama adalah wakil Malaysia Design Archive Ezrena Marwan, pereka kulit depan buku Fixi Teck Heed dan pemenang kategori Poster Film Terbaik untuk KIL dalam Festival Filem Malaysia 2014 Rewan Ishak.

Pemenang akan diumumkan pada 30 Ogos di laman Facebook dan akan mendapat hadiah tunai RM5,000.