POKOK SENA: Kedah mungkin dapat beralih kepada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Oktober ini, jika kadar vaksinasi rakyat di negeri ini meningkat sekali gus mencapai sasaran imuniti kelompok ditetapkan sebanyak 70 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, setakat ini kadar vaksinasi di Kedah adalah kira-kira 40 peratus untuk dos pertama, manakala lebih 20 peratus bagi dos kedua.

"Nilai ambang kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) tidak akan diambil kira sebagai kriteria untuk Kedah beralih ke fasa dua, memandangkan ia satu proses yang lambat berikutan kini masih berada pada tahap melebihi 80 peratus.

"Oleh kerana kita nampak katil di ICU ini lambat (untuk berkurangan) kita akan guna kadar vaksinasi, kriteria ini mungkin akan diubah, tidak menggunakan (jumlah) penggunaan katil di ICU, maknanya kalau jumlah vaksinasi meningkat walaupun katil ICU kita nampak tinggi, kita akan selaraskan balik," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita semasa Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) Dos Dua Daerah Pokok Sena di sini hari ini.

Program yang diinisiatifkan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu melibatkan 350 penerima yang mendapatkan suntikan vaksin dos kedua hari ini.

Sementara itu, Dr Mohd Hayati berkata Langkawi disasarkan akan mencapai imuniti kelompok sebelum September, bagi membolehkan pelaksanaan gelembung pelncongan yang dijangka beroperasi bulan depan dan kini kadar vaksinasi penduduk telah mencecah 50 peratus untuk dos pertama.

-- BERNAMA